suria

Nadia Aqilah Berjaya Elak Kejutan Budaya

Nadia Aqilah
Nadia Aqilah
Nadia Aqilah

PETALING JAYA: Penyanyi dan pelakon Nadia Aqilah Bajuri berkata pengalaman bergelar artis yang kurang dikenali merupakan hikmah yang membantunya daripada mengalami ‘kejutan budaya’.

Nadia, 27, berkata, sikap dan pemikirannya mungkin berbeza jika ditakdirkan dia meraih populariti dalam sekelip mata sebaik menceburi bidang seni, kira-kira lima tahun lalu.

“Ada hikmahnya saya kurang dikenali walaupun selepas lima tahun berkecimpung dalam bidang seni. Kalau sejak awal pembabitan saya sudah popular, mungkin sikap saya berbeza dan mengalami kejutan budaya kerana dikenali ramai.

“Saya bersyukur kerana nama saya meningkat secara berperingkat dari tahun ke tahun berdasarkan kerja. Maka, dapat juga saya belajar menyesuaikan diri dengan dunia glamor ini secara berperingkat,” katanya ketika ditemui mStar Online.

Bercakap mengenai isu populariti, Nadia berkata, peluang menggalas watak penyanyi Zaiton Sameon dalam filem Zaiton Ceritaku adalah platform terbaik untuk melonjakkan namanya agar lebih dikenali.

“Besar harapan saya agar pembabitan dalam filem ini akan memberi ruang kepada khalayak agar menyedari kewujudan saya dalam bidang seni.

“Biar orang lihat bakat saya dulu dan jika populariti menyusul kemudian, itu adalah bonus,” jelasnya.

Ditanya adakah dia bersedia untuk menghadapi gosip dan kontroversi apabila semakin dikenali kelak, Nadia berkata, perkara itu adalah asas dan lumrah bagi mana-mana anak seni yang menceburi bidang hiburan.

“Mungkin sekarang memang tiada (gosip) dan kebetulan saya pula masih tidak dikenali ramai tetapi kita tidak tahu apa akan berlaku pada masa akan datang.

“Kalau berlaku kontroversi membabitkan saya kelak, saya harus bersedia dan berani menghadapinya. Cuma, harap-harap tiadalah,” ujarnya.

Artis yang memulakan karier nyanyian bersama kumpulan trio Luscious ini bakal muncul dengan drama bersiri bahasa Inggeris 13 episod berjudul I Eat KL untuk saluran televisyen Internet, Unifi tidak lama lagi di samping Tony Eusoff, Dawn Jeremiah dan Chelsia Ng.

Artikel Berikut