Amar Asyraf mengakui masih berdepan kesukaran untuk menonjolkan diri selepas hampir dua tahun menceburi bidang seni. KUALA LUMPUR: Pelakon baru Amar Asyraf mengakui sering disalah anggap oleh segelintir pihak yang menyangkanya sebagai pelakon Amar Baharin atau Ammar Alfian Aziz kerana persamaan pada pangkal nama mereka.Amar atau nama sebenarnya Amar Asyraf Zailuddin, 26, berkata, keadaan itu berlaku kerana populariti nama Amar itu yang terlebih dahulu “dibawa” oleh dua aktor tersebut. “Saya akui orang ramai masih tidak mengenali siapa Amar Asyraf. Banyak pihak sering keliru dan tersalah anggap kerana mereka sangka saya adalah Amar Baharin atau Ammar Alfian Aziz kerana persamaan pada pangkal nama kami.“Namun, saya tidak berkecil hati kerana maklumlah saya orang baru dalam bidang lakonan berbanding mereka. Cuma, saya berharap selepas ini orang ramai akan menyedari kewujudan saya,” katanya ketika ditemui mStar Online, baru-baru ini.Bekas graduan Akademi Seni Budaya & Warisan Kebangsaan (Aswara) ini berkata, dia masih berdepan kesukaran untuk menonjolkan diri selepas hampir dua tahun menceburi bidang seni.“Saya pun tidak tahu di mana silapnya kerana sampai ke hari ini, saya perhatikan populariti itu agak perlahan dan susah sikit.“Malah, saya sering tidak mendapat apa-apa tawaran lakonan mungkin disebabkan nama saya yang masih tidak dikenali umum,” tuturnya.Ditanya apakah perancangan bagi melonjakkan populariti diri, Amar berkata, dia hanya berserah kepada nasib dan rezeki, selain memastikan mutu kerjanya disenangi dan mendapat perhatian khalayak.“Menjadi popular dan dikenali memang penting tetapi saya seperti tidak kisah mengenai aspek itu selama ini. Malah, saya selesa bergiat aktif di pentas teater jika tiada tawaran lakonan.“Mungkin sebelum ini saya agak memilih tawaran yang diberikan kerana kecenderungan itu kuat kepada dunia teater.“Namun, selepas ini saya perlu imbangi perkara itu dan kena banyak bersabar sementara menunggu peluang saya untuk menyerlah tiba,” ujarnya yang bakal muncul dalam drama bersiri Dalam Hati Ada Taman.Siri itu akan disiarkan bermula 29 Oktober ini pada setiap Isnin pukul 9.30 malam di Astro Ria (saluran 104).Selain menantikan tayangan filem Qada pada tahun depan, pemuda yang berasal dari Melaka ini juga sedang mengacarakan program berjudul Dinamik di TV2.