Shuhaimi BabaPETALING JAYA: Filem Tanda Putera arahan Datin Paduka Shuhaimi Baba yang dikatakan berbaur perkauman ditunda lagi tarikh penayangannya dan dijangka menemui penonton pada tahun hadapan.Shuhaimi yang juga Pengarah Urusan Pesona Pictures berkata, penundaan itu disebabkan proses suntingan “titik potong” (cut off point) yang dibuat pada Selasa lalu telah menyebabkan kelewatan bagi urusan promosi dan pengedaran untuk slot wajib tayang yang diperoleh pada 15 November depan. “Besar kemungkinan filem ini akan ditayangkan pada tahun hadapan. Kami akan mengumumkannya selepas mendapat tarikh baru (daripada Skim Wajib Tayang),” katanya dalam kenyataan empat perenggan yang dikeluarkan kepada mStar Online di sini malam Rabu.Dalam kenyataan tersebut juga Shuhaimi turut memohon maaf terhadap penundaan terbaharu itu dan berharap semua pihak akan terus memberi sokongan terhadap filem berkenaan.Filem Tanda Putera yang dilakonkan antaranya oleh Rusdi Ramli, Zizan Nin, Faezah Elai dan Linda Hashim itu melalui pelbagai kontroversi sehingga dituduh bersifat perkauman kerana paparan adegan peristiwa berdarah 13 Mei 1969.Ia turut mendapat kritikan daripada pelbagai pihak khususnya parti pembangkang yang pada mulanya membantah penayangan filem tersebut.Filem itu sepatutnya menemui penonton pada 13 September lalu tetapi terpaksa ditunda penayangannya kepada 12 November depan dan seterusnya dijangka akan ditayangkan pula pada tahun hadapan.Ia diterbitkan hasil kerjasama Pesona Pictures dengan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) serta Perbadanan Kemajuan Multimedia (MDeC) dengan kos kira-kira RM4.8 juta termasuk promosi.