Almy NadiaPETALING JAYA: Pelakon Almy Nadia meminta agar desas-desus ditimbulkan pihak tertentu yang mempersoalkan kesahihan status anak angkatnya, Nur Afrina Darwisya dihentikan.Almy atau nama sebenarnya Almy Nadia Aminuddin Shah, 26, berkata, dia sudah mendengar beberapa kali mengenai pertikaian pihak tertentu yang meragui sama ada kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun itu benar-benar anak angkatnya. “Saya sedar ada pihak yang masih meragui status anak itu dan menuduh saya cuba menyembunyikan bahawa Afrina adalah anak kandung saya.“Demi kebaikan semua, saya mohon agar isu mengenai anak angkat saya tidak dipanjangkan. Sudah saya jelaskan dari awal, Afrina adalah anak angkat saya dan saya tidak mahu menyebutnya berulang-kali.“Terus-terang, hanya saya, ibu dan Allah sahaja yang tahu kebenarannya. Tolong jangan ragui status anak angkat saya,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.Kata Almy, cabaran untuk membesarkan anak itu tanpa berkahwin memang berat kerana dia tidak boleh mengelak daripada persepsi negatif khalayak.Namun, kehadiran kanak-kanak yang dijaga mulai 27 April 2010 itu banyak memberikan kekuatan dan inspirasi dalam hidupnya.“Apabila saya penat dan tertekan dengan nasib kerjaya yang tidak menentu kebelakangan ini, Afrina menjadi kekuatan dan inspirasi saya.“Saya gembira dan bahagia membesarkan dia. Pendek kata, dia adalah segala-galanya dalam hidup saya,” katanya.Sehubungan itu, Almy berkata, dia merancang untuk mengadakan majlis sambutan hari lahir anaknya pada bulan depan bersama pihak media dan peminat.“Sejak dia berada di bawah jagaan saya, Afrina tidak pernah diperkenalkan kepada khalayak. Mungkin sebab itu, timbul pelbagai cerita kurang enak mengenai kami.“Insya-Allah, jika tiada aral saya mahu adakan majlis hari lahirnya pada bulan depan atau Disember nanti di Kuala Lumpur bagi memperkenalkannya kepada rakan media dan peminat,” katanya.