Kamal Adli Mahukan Kepuasan Menerusi Bidang Teater.PETALING JAYA: Pelakon Kamal Adli berhasrat untuk mengasah bidang lakonan menerusi pentas teater selain berhasrat memberi fokus pada bidang itu pada masa akan datang.Kamal atau nama sebenarnya Ahmad Kamal Ahmad Adli, 26, berkata, sudah tiba masanya untuk dia mencari kepuasan lakonan dan menganggap bidang teater adalah yang terbaik untuknya. "Alhamdulillah, rezeki saya pada tahun ini melimpah dengan kerja-kerja lakonan drama serta filem. Ia sedikit sebanyak dapat menaikkan nama saya selepas menyepikan diri gara-gara peningkatan berat badan."Bagaimanapun, tahun depan, saya ingin mencari peluang untuk berlakon teater pula."Selepas menjayakan teater Gerimis Mengundang pada tahun lalu, saya mula jatuh cinta dengan bidang itu, ia memerlukan komitmen yang sepenuhnya dan pada masa sama memberikan kepuasan yang maksima selepas selesai pementasan," katanya.Tambah kekasih kepada Intan Ladyana ini, dia juga ingin bersama dengan pelakon-pelakon teater lain dalam membantu mengangkat kembali industri teater negara yang semakin dipandang sepi.Sementara itu, Kamal turut mengikut jejak langkah selebriti lain dengan memulakan perniagaan menjual pelbagai jenis biskut dan kek termasuklah biskut coklat, kek keju dan “pavlova”.Perniagaan yang masih lagi belum diletakkan labelnya itu dijalankan bersama keluarga Kamal menerusi syarikat miliknya iaitu “Kamal Adli Creation”."Sebenarnya kakak saya dah lama mengambil tempahan biskut dan kek. Kemudian, apabila melihat respons daripada pembeli yang sangat menggalakkan, kami ingin melakukan perniagaan ini secara serius."Masih lagi terlalu awal untuk dibincangkan tetapi tempahan boleh dibuat menerusi Facebook atau hubungi kakak saya menerusi talian 013-6090369," ujarnya.Kata Kamal, dia juga sedang merancang untuk membuat sebuah blog khas bagi memudahkan lagi pembeli untuk membuat tempahan.