Ainan Tasneem risau untuk berdepan dengan khalayak setiap kali tampil membuat persembahan. Foto AHMAD MOHSIN DADAMEAHPETALING JAYA: Selepas dikritik cuba meniru gaya penyanyi 'Youtube', Najwa Latif, pendatang baru Ainan Tasneem mengakui berdebar dan risau untuk berdepan dengan khalayak setiap kali tampil membuat persembahan.Ainan atau nama sebenarnya Ainan Tasneem Redzuan, 20, berkata, dia enggan dilabel sebagai peniru gaya artis lain dan memastikan imej dan cara penyampaian persembahan mempunyai gaya identiti yang tersendiri. "Diakui, ketika orang mula kenal saya menerusi lagu Aku Suka Dia, ramai yang menganggap saya cuba meniru personaliti Najwa."Ini mungkin berlaku memandangkan bakat kami dicungkil menerusi laman 'Youtube'."Jadi untuk mengelakkan kritikan yang sama berlaku, saya akan pastikan untuk menjadi diri sendiri dan sekiranya secara kebetulan ada gaya nyanyian yang seakan-akan sama dengan penyanyi lain, saya akan ubah atau cuba elakkan," katanya.Tambah Ainan, dia juga tidak akan menjadikan penggunaan gitar sebagai identiti dirinya setiap kali mengadakan persembahan."Bermain gitar merupakan satu kebolehan yang saya ada selepas mempelajarinya ketika berusia 17 tahun, namun tidak bermakna setiap kali mengadakan persembahan saya akan bermain gitar. "Lagipun, sebenarnya saya suka lagu berkonsepkan balada yang bernada tinggi serta mencabar vokal. Jadi, sudah semestinya memegang gitar dilihat seperti tidak sesuai ketika mempersembahkan lagu sebegitu," ujarnya.Walaupun nama Ainan mula menjadi perhatian di industri muzik tempatan, namun penuntut jurusan Kejuruteraan Bioproses dari Universiti Malaysia Perlis itu mempunyai cita-citanya sendiri iaitu ingin bergelar seorang pensyarah."Memang menjadi pensyarah merupakan impian saya sejak dahulu lagi dan diharap ia dapat menjadi kenyataan satu hari nanti."Walaupun sibuk dengan hal muzik, saya tidak pernah abaikan pelajaran. InsyaAllah, moga impian saya itu terlaksana," tuturnya.Sementara itu Ainan bakal muncul dengan single lagu terbaru iaitu Aku Keliru, Tak Mungkin dan 150 Juta.