suria

Zalif Sidek Pentingkan Kerjaya Berbanding Fida

Zalif Sidek
Zalif Sidek
Zalif Sidek

PETALING JAYA: Pelakon baru, Zalif Sidek mengakui hubungannya dengan aktres dan penyanyi Fida Ibrahim sejak empat bulan lalu bukan perkara utama yang perlu dititikberatkan dalam hidupnya.

Zalif atau nama sebenarnya Md Zalif Naquiyudin Wan Abu Bakar Sidek, 27, berkata, pada waktu ini perkara paling penting adalah untuk mengukuhkan kerjaya lakonan dan berharap agar hubungan itu berjalan secara semula jadi.

"Masih terlalu awal untuk saya komen apa-apa (status hubungan). Saya nak kenal betul-betul mengenai latar belakang dan pergaulan sosialnya dahulu.

"Memang kami berkawan baik tetapi Fida bukan keutamaan sekarang kerana kerja saya adalah paling penting yang perlu saya kejar dahulu," katanya kepada mStar Online, baru-baru ini.

Bagaimanapun, pelakon drama bersiri Spy M itu berkata, dia tidak menolak jika hubungan mereka menjadi lebih serius pada masa hadapan kerana keserasiannya dengan penyanyi lagu Apo Kono Eh Jang tersebut.

"Saya selesa berkawan dengan dia. Hubungan kami adalah hubungan yang matang di mana kami mengisi masa ketika bertemu untuk berbincang mengenai kerja dan perkara-perkara yang serius.

"Kami banyak bertukar-tukar pendapat mengenai lakonan dan perniagaan. Cuma tiada apa-apa perkembangan lain atau lebih daripada itu waktu ini," kongsinya.

Ditanya mengenai Fida pada pandangan matanya, Zalif berkata, persahabatannya dengan aktres itu banyak mengubah dirinya ke arah kebaikan.

"Dia banyak mengubah saya ke arah kebaikan. Selama ini, saya tidak pernah berkawan dengan perempuan yang mengingatkan saya mengenai waktu solat.

"Dia akan mengejutkan saya untuk solat Subuh pada setiap pagi. Saya memang tersentuh dengan keikhlasannya tetapi kami belum ke tahap bercinta lagi," jelasnya.

Pelakon yang berasal dari Terengganu ini bakal muncul dengan tiga filem iaitu Pada Suatu Cinta Dahulu, Langgar dan Karaking pada 2013.

Artikel Lain