suria

Fauziah Latiff Bawa Diri Ke Lombok

Jee cuba menaiki kereta kuda iaitu pengangkutan utama di Gili Trawangan, Lombok.
Jee cuba menaiki kereta kuda iaitu pengangkutan utama di Gili Trawangan, Lombok.
Jee cuba menaiki kereta kuda iaitu pengangkutan utama di Gili Trawangan, Lombok.

LOMBOK: Ketika bandar ini dikaitkan dengan sikap pemudanya yang kerap melarikan wanita Malaysia untuk dijadikan calon isteri, penyanyi Fauziah Latiff pula mengambil pendekatan ‘membawa diri’ ke bandar tersebut.

Fauziah atau Jee, 42, berkata, dia membawa diri kerana mahu meneroka dan melihat sendiri budaya dan masyarakat yang menjadi kontroversi di Malaysia.

“Nama Lombok agak sinonim kepada kita kerana sikap segelintir masyarakatnya yang gemar melarikan gadis-gadis Malaysia tetapi saya tidak pernah mengetahui kehebatannya sehinggalah saya menjejakkan kaki ke pulau ini,” katanya.

Jee ditemui mStar Online ketika mengikuti percutian bersama syarikat penerbangan tambang murah AirAsia selama tiga hari bermula Jumaat lalu.

Selain rombongan pihak media, percutian yang turut ditaja Tourism Lombok itu turut disertai Pembantu Khas Kepada Pengerusi dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Berhad, Edd Razhe, Pengurus Komunikasi Korporat AirAsia X, Fairuz Majid dan Eksekutif Komunikasi AirAsia, Nazatul Ekma Mokhtar.

Jee berkata, walaupun pulau itu masih belum maju berbanding Bali yang terletak berdekatan dengannya namun apa yang lebih penting pantai-pantainya masih belum tercemar.

Sebagai pencinta alam sekitar Jee berkata, keaslian pulau-pulau kecil di Lombok juga mampu memberi ketenangan jiwa kepada mereka yang benar-benar mencintai laut.

“Lombok sebuah destinasi percutian saya yang menarik kerana keaslian pantainya yang antara lain berjaya menepis tanggapan mengenai sikap buruk pemudanya kerana gemar “menculik” wanita untuk dijadikan calon isteri,” katanya.

Dalam percutian itu Jee turut berpeluang menginap di sebuah pulau kecil iaitu Gili Trawangan yang antara lain mendedahkannya kepadanya pengalaman menaiki kuda yang dijadikan sebagai kenderaan rasmi di pulau kecil itu.

Kata Jee, percutian berkenaan dapat menghilangkan stres akibat tekanan kerja yang dihadapinya selain panorama indah pantai turut memberinya ketengan jiwa.

Jee juga turut diberi peluang menginap di hotel dan resort bertaraf lima bintang iaitu Villa Queen dan Kebun Villas Resort.

Sementara itu Nazatul Ekma berkata, sejak destinasi penerbangan dari Kuala Lumpur ke pulau ini dilancarkan pada 12 Oktober lalu, AirAsia membuka laluan sebanyak tiga kali seminggu iaitu pada hari Rabu, Jumaat dan Ahad.

Katanya sehingga kini sambutan yang diterima daripada penumpang syarikat penerbangan itu amat menggalakkan khususnya kepada masyarakat pulau ini yang bekerja di Malaysia.

“Dengan perkembangan ini, pihak kami bercadang untuk menambah lagi jumlah penerbangan seerta menggalakkan pelancong Malaysia memilih Lombok sebagai destinasi terbaharu selain lokasi lain yang diperkenalkan AirAsia ke Indonesia,” katanya.

* Foto ihsan Kamarul Bahrin Ismail (Tel: 012-2388256)

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain