suria

Usop Wilcha Jadi Hero Filem Bukan Perkara Pelik

Usop Wilcha
Usop Wilcha
Usop Wilcha

PETALING JAYA: Pelakon komedi Shy8 atau lebih dikenali sebagai Usop Wilcha (gambar) berkata pemilihan aktor berusia sepertinya sebagai hero filem Kahwin 5 - Miang Lawan Pailang bukan perkara pelik kerana ia bersesuaian dengan tema filem berkenaan.

Usop atau nama sebenarnya Syed Mohammed Asri Syed Osman Jamalulail, 47, berkata, peluang diberikan penerbit KRU adalah keputusan yang logik dan tepat dengan tuntutan watak serta konsep filem komedi tersebut.

"Ini (filem) adalah cerita kekeluargaan. Kalau orang muda jadi hero tentulah kurang sesuai. Ada logiknya pelakon berusia seperti saya ditawarkan watak utama.

"Bagi saya, tidak menjadi masalah (pelakon berusia jadi hero) kerana ia mengikut kesesuaian cerita," katanya kepada mStar Online.

Usop berkata, dia juga berharap keberanian penerbit mengetengahkan hero yang berusia akan membuka lebih banyak peluang kepada pelakon berusia lain menggalas watak utama filem kelak.

"Mungkin kalau formula ini berjaya dan diterima penonton, ia akan membuka peluang kepada aktor berusia lain bergelar hero filem pada masa akan hadapan.

"Saya harap penonton akan bersikap terbuka untuk menerima pelakon berusia sebagai hero sebab kita mempunyai ramai pelakon lama yang bagus," katanya.

Mengenai perkembangan terbaharu, Usop berkata, kerjaya seninya semakin berkembang sejak dia berundur daripada tugas penyampai stesen Hot FM pada hujung November lalu.

"Apabila sudah tidak terikat sebagai deejay radio, pergerakan saya lebih bebas.

"Selain berlakon, saya juga bakal mengeluarkan lagu lama yang diberikan nafas baru iaitu Wan Lebar tidak lama lagi," katanya.

Terbaru, Usop bakal memulakan penggambaran filem Zombi Kilang Biskut pada Sabtu ini dan disusuli Werewolf Dari Bangladesh pada Februari 2013.

Filem Kahwin 5 yang turut menampilkan antaranya Fizz Fairuz, Dian P. Ramlee, Norish Karman dan Anzalna Nasir akan ditayangkan bermula 27 Disember ini.

Artikel Berikut

Artikel Lain