Sebahagian daripada 69 wakil syarikat produksi yang menerima cek insentif Dana Industri Kreatif Negara (Program RTM) berjumlah RM4.5 juta di Wisma Radio, Angkasapuri di sini, petang Isnin. Turut kelihatan Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Kamaruddin Siaraf (berdiri, empat kanan). - Foto oleh SHAARI CHE MATKUALA LUMPUR: Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) pada Isnin mengagihkan insentif Dana Industri Kreatif Negara (DIKN) berjumlah RM4.5 juta kepada 69 syarikat produksi tempatan sebagai galakan untuk meningkatkan kualiti produk televisyen (TV) pada masa akan datang.Ketua Setiausaha (KSU) Datuk Seri Kamaruddin Siaraf berkata, pemberian insentif itu diharap dapat digunakan secara bertanggungjawab oleh para penerbit dengan menghasilkan produk yang dapat dipasarkan ke luar. “Pengagihan insentif di bawah DIKN ini diharap dapat meningkatkan kualiti penerbitan produk TV agar dapat dipasarkan ke luar pada masa akan datang.“Ia juga adalah tanda penghargaan kerajaan kepada para penerbit yang bertungkus-lumus meningkatkan mutu produk mereka untuk siaran Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada tahun ini,” katanya.Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Cek Insentif DIKN (Program TV RTM) di Wisma Radio, Angkasapuri di sini, petang Isnin.Turut hadir pada majlis itu adalah Timbalan KSU Datuk Dr Rothiah Omar, Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia Datuk Norhyati Ismail dan wakil-wakil syarikat produksi.Kamaruddin berkata, sehubungan itu kementerian akan memantau operasi penerbitan syarikat-syarikat penerima dana itu dari masa ke semasa bagi memastikan peningkatan kualiti produk mereka.“Saya percaya para pelaku (penerbit) tahu memanfaatkan insentif ini secara bertanggungjawab untuk peningkatan mutu produk mereka dan bukan kepentingan peribadi.“Bagaimanapun, kementerian akan memantau sejauh mana pemberian ini akan meningkatkan kualiti produk mereka pada masa akan datang,” katanya.Kamaruddin berkata, seiring dengan matlamat RTM menuju ke era digital pada 2016, pihaknya berharap penerbit akan memanfaatkan insentif tersebut untuk menghasilkan kandungan yang bermutu tinggi menggunakan fasiliti dan teknologi terkini.“Pelaku perlu bersedia dengan kandungan yang bermutu tinggi daripada segi skrip, teknologi dan mempunyai trek audio antarabangsa bagi membolehkan sesebuah produk dialih suarakan.“Aspek ini perlu jika kita hendak memasarkan produk TV ke luar sama ada ke sekitar rantau ini, Amerika Selatan atau Timur Tengah sekali pun,” katanya.Antara syarikat produksi yang menerima insentif adalah Suhan Movies & Trading, Excellent Pictures, Rumah Karya Citra, Saujana Media dan Bright Networks Sdn Bhd.Pemberian insentif berkenaan merupakan agihan kali kedua untuk tahun ini, di mana sebanyak 23 syarikat produksi menerima sumbangan sebanyak RM1 juta pada 18 September lalu.Penerima insentif tahun ini dipilih berdasarkan kualiti serta kadar populariti program berdasarkan jumlah tontonan ketika disiarkan di RTM pada tahun ini.Insentif itu akan diteruskan dengan peruntukan yang sama pada 2013.