suria

Zul Ariffin Harap Kisah Cinta Dengan Gayatri Tidak Jejaskan Kerjaya

Zul Ariffin
Zul Ariffin
Zul Ariffin

PETALING JAYA: Pelakon Zul Ariffin berharap keterbukaannya mendedahkan kisah hubungan cinta dengan Naib Presiden Astro Shaw, Gayatri Su-Lin Pillai tidak akan menjejaskan kerjaya mereka.

Pelakon berusia 26 tahun itu berkata, dia mengambil keputusan berkongsi perkara itu dengan khalayak kerana tidak mahu timbul sebarang salah faham atau kekeliruan jika mereka dilihat bersama pada masa akan datang.

“Bagi saya, tidak jadi isu pun selepas dedahkan hubungan kami. Malah, lagi awal buka cerita, lagi bagus.

“Tiada faedah pun kalau saya hendak sorok (hubungan). Perkara ini sudah kami bincangkan banyak kali sebelum saya membuka mulut mengenai kami.

“Cuma, saya harap cerita ini (hubungan) tidak akan jejaskan kerjaya kami pula,” katanya ketika ditemui mStar Online, baru-baru ini.

Dalam artikel bertarikh 24 Disember lalu, aktor bertubuh sasa ini mengakui bercinta dengan Gayatri sejak tujuh bulan lalu selepas mereka bekerjasama dalam penggambaran filem Penanggal.

Mengenai perkembangan hubungan itu, Zul berkata, keselesaannya dengan wanita itu membuatkan dia tidak teragak-agak memperkenalkannya kepada keluarga.

“Saya selesa dengan dia (Gayatri). Malah, saya sudah perkenalkan kepada keluarga pun.

“Buat masa ini, ia adalah hubungan yang serius cuma kami belum letak sebarang sasaran dalam waktu terdekat,” jelasnya.

Zul berkata, dia juga berharap agar tiada pihak cuba membangkitkan isu jarak umur antara mereka kerana keputusan untuk menjalin hubungan dengan Gayatri tiada kena mengena dengan status atau usia wanita itu.

“Sejak dahulu lagi, saya tidak pernah meletakkan sebarang syarat atau had umur dalam menjalinkan sesebuah hubungan. Begitu juga sekarang, cinta saya terhadap Gayatri ikhlas,” katanya yang pernah bercinta dengan Abby Abadi sselama dua tahun sebelum ini.

Terbaru, Zul bakal muncul dalam drama bersiri Debunga Lalang bermula 2 Januari depan menerusi slot Azalea pada setiap Isnin hingga Khamis, pukul 4 petang di TV3.

Dia juga menantikan tayangan tiga filem lakonannya iaitu Penanggal, Balistik dan Bikers Kental pada tahun hadapan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain