suria

Elfaeza Ul Haq Lawan Perasaan Sunyi Tanpa Keluarga

Elfaeza Ul Haq
Elfaeza Ul Haq
Elfaeza Ul Haq

KUALA LUMPUR: Pelakon dari Singapura, Elfaeza Ul Haq berkata dia terpaksa melawan perasaan sunyi kerana berjauhan daripada keluarga demi membina kerjaya di negara ini.

Elfaeza, 27, berkata, perasaan sunyi dan rindu adalah cabaran terbesar yang terpaksa dihadapi sejak dia mengembangkan kerjaya di sini hampir setahun yang lalu.

“Saya seorang diri di Malaysia. Sebab itu saya sering alami perasaan rindu dan murung kerana teringatkan keluarga.

“Malah, kadang-kadang saya berasa seram dan bimbang juga kalau apa-apa berlaku ketika saya di rumah, apa akan jadi sebab saya tinggal seorang diri.

“Mujurlah, ada beberapa kenalan artis yang rapat dan menjadi tempat berbual apabila saya tiada penggambaran,” katanya ketika ditemui mStar Online, baru-baru ini.

Aktres yang meraih populariti menerusi drama Adam & Hawa itu berkata, sebagai anak rantau yang sedang menyesuaikan diri dengan kehidupan di sini dia mengakui kebanyakan waktu lapang hanya dihabiskan di rumah sahaja.

“Saya tidak keluar bersosial dan lebih selesa habiskan masa di rumah seorang diri. Kalau keluar pun dengan kawan-kawan rapat sahaja.

“Bukan apa, saya seorang yang pendiam dan tidak banyak berbual, jadi mudah segan dengan orang yang tidak rapat,” kata wanita yang berasal dari Jurong ini.

Mengenai desas-desus kononnya dia berhijrah ke negara ini kerana merajuk dengan Kota Singa itu, anak kedua dalam keluarga ini berkata, dia mencuba nasib di sini bagi mengembangkan kerjaya.

“Bukan saya merajuk dengan Singapura. Saya datang Malaysia kerana tawaran kerja di sana semakin berkurangan.

“Selepas terlibat dalam produksi drama bersiri bahasa Inggeris di sana, semakin kurang tawaran drama Melayu yang saya terima.

“Kebetulan pula, industri dan peluang di sini lebih besar, apa salahnya saya mencuba tapi jika ada tawaran di sana saya tetap akan ambil,” katanya yang baru menamatkan penggambaran drama bersiri Dalam Setiap Sujudnya untuk TV9.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain