suria

Rozie Rashid Lebih Puas Tulis Skrip Berbanding Berlakon

Rozie Rashid
Rozie Rashid
Rozie Rashid

KUALA LUMPUR: Aktres Rozie Rashid mengakui pembabitan secara aktif dalam penulisan skrip sejak dua tahun lalu memberikan kepuasan berbeza berbanding lakonan.

Pemilik nama penuh Roziwati Mohd Rashid, 43, berkata, dia berpeluang menerokai emosi dan kreativiti secara bebas menerusi pelbagai skrip yang dihasilkan.

“Saya jarang berlakon kebelakangan ini. Fokus sekarang adalah pada penulisan skrip. Ia membolehkan saya meluahkan emosi dan kreativiti dengan bebas berbanding lakonan.

“Apabila menulis dalam masa yang sama saya boleh meluahkan perasaan. Kebanyakan cerita yang saya tulis mesti ada sedikit persamaan dengan cerita sebenar,” katanya kepada mStar Online.

Rozie berkata, kecenderungan pada penulisan skrip juga memberikan lebih banyak masa menumpukan perhatian kepada urusan rumah tangga.

“Bila sudah jarang berlakon, lebih banyak masa dapat ditumpukan kepada keluarga.

“Anak-anak saya pun sedang membesar jadi sambil menguruskan hal rumah tangga, saya isi masa dengan penulisan skrip,” kata ibu kepada enam anak ini.

Ditanya mengenai cabaran menghasilkan skrip adaptasi novel iaitu Adam & Hawa dan terbaharu Sehangat Asmara, Rozie berkata, ia adalah lebih sukar berbanding skrip idea sendiri.

“Skrip adaptasi lebih sukar dihasilkan berbanding skrip idea sendiri. Kita perlu mengeluarkan seberapa banyak dialog penting dalam sesebuah novel.

“Sesebuah novel mempunyai banyak sub plot dan apabila mahu adaptasi ia tidak semestinya kena ikut susunan seperti dalam buku.

“Di situlah penelitian dan kreativiti amat diperlukan agar skrip itu akan berkesan seperti cerita novel asal,” katanya yang baharu menghasilkan skrip drama bersiri Tentang Hati untuk tayangan RTM.

Artikel Sebelum

Artikel Lain