Jimmy Shanley mengaku mampu menjaga anaknya dengan baik tanpa bantuan bekas ibu mertuanya.Shah Alam: Pengacara Jimmy Shanley mengakui kurang selesa dengan kehadiran bekas ibu mentuanya yang juga ahli perniagaan Datin Muniroh Kassim ketika dia bersama anaknya perempuannya, Zahra Rania, setahun lapan bulan.Menurut laporan Harian Metro pada Rabu, Jimmy atau nama penuhnya, Jimmy Shanley Norjahan Salleh, 33, berkata masa dua jam yang diberikan untuk meluangkan masa dengan anaknya itu juga tidak mencukupi. “Masa dua jam untuk saya berjumpa dengan anak tidak cukup. Saya mengandaikan dapat bermalam dengan anak, tapi tidak dapat sebab bekas ibu mentua ada bersama,” katanya dalam perbicaraan hak penjagaan anak (hadanah) di Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, Selasa.Tambah Jimmy, kali terakhir dia berjumpa anak tunggalnya itu pada 23 Januari lalu di rumahnya Putra Height, Subang Jaya."“Sebab itu saya putuskan tidak jumpa anak bila ibu mentua ada,” katanya ketika sesi soal semula oleh peguam syarie yang mewakilinya Mohd Noor Aizan Md Idrus.Selain itu, ketika ditanya siapa sebenarnya menguruskan anaknya, Jimmy berkata, dia yakin anaknya itu bukan diuruskan plaintif sebaliknya ibu mentuanya.Terdahulu, ketika disoal balas peguam syarie Sa’adiah Din yang mewakili Nursuhaila Eliani Suhaimi (plaintif), Jimmy berkata, pada 23 Januari lalu bekas ibu mentuanya menghantar SMS (sistem khidmat pesanan ringkas) bertanyakan sama ada dia berada di rumah kerana ingin membawa anak Jimmy ke rumahnya.“Dia SMS sebab takut saya tiada di rumah,” katanya. Dia bagaimanapun setuju dengan Sa’adiah bahawa bukan permintaannya untuk berjumpa Rania sebaliknya bekas ibu mentua yang sedia membawa bayi itu ke rumahnya.“Saya bersama anak selama lebih kurang dua jam setengah antara jam 3.30 petang hingga 5.45 petang,” katanya yang kini bekerja sebagai pengarah dan perunding syarikat.Menurutnya, dia mempunyai pengalaman menjaga anak kecil iaitu ketika menjaga dua anak saudaranya yang ketika itu berusia empat serta enam tahun sekitar 1998 hingga 2000 dan disebabkan itu dia tiada masalah menjaga anaknya tanpa bantuan.Hakim Syarie Mawardi Che Man kemudian mengarahkan kedua-dua pihak menyediakan hujah masing-masing dan menetapkan 8 April depan untuk keputusan.Kemelut rumah tangga pasangan itu menemui noktah selepas sah bercerai talak satu secara tebus talak (khuluk) dengan nilai ganti rugi RM1 pada 10 Oktober lalu.Pasangan itu diijabkabulkan pada 1 Oktober 2010 di rumah keluarga perempuan di Sunway Rahman Putera, Sungai Buloh dengan hantaran RM31,186 yang diambil sempena tarikh lahir Nursuhaila pada 31 Januari 1986.Pengacara Akademi Fantasia ke-8 itu dan isterinya dilaporkan tinggal berasingan sejak 21 Oktober 2010.