suria

Memey Yakin Kelebihan Norman Hakim Mendidik Anak

Memey dan Norman bahagia dengan kehadiran anak sulung mereka, Darwisz.
Memey dan Norman bahagia dengan kehadiran anak sulung mereka, Darwisz.
Memey dan Norman bahagia dengan kehadiran anak sulung mereka, Darwisz.

PETALING JAYA: Pelakon Memey Suhaiza tidak risau dengan perjalanan masa depan anak sulungnya, Mohamed Darwisz Hakim yang baru dilahirkan pada malam Jumaat lalu kerana yakin suaminya, Norman Hakim dapat membantu membimbing anak menjadi orang yang berguna.

Memey atau nama sebenarnya Suhaiza Suhaimi, 25, berkata, berdasarkan pengalaman Norman,37, yang mempunyai tiga orang anak yang bijak dan menghormati orang tua, hasil perkahwinan sebelumnya dengan pelakon Abby Abadi, dia yakin, Darwisz juga akan diberi pendidikan dan kasih sayang yang sama.

"Biasanya, pasangan ibu bapa akan risau dengan hala tuju kehidupan anak mereka terutamanya yang sulung tentang pendidikan agama, akademik dan moral.

"Namun saya yakin, walaupun Darwisz adalah anak pertama, dia bakal mendapat didikan yang terbaik daripada ayahnya.

"Begitu juga dengan saya yang akan memberi sepenuh kasih sayang buat Darwisz," katanya yang dihubungi mStar Online.

Pada 9.55 malam Jumaat, Memey selamat melahirkan Darwisz di Dewan Bersalin Muslimah Gombak, Selangor.

Bayi itu dilahirkan dua minggu awal daripada tarikh jangkaan bersalin.

Tambah Memey, dia juga bersyukur apabila proses kelahirannya tiada sebarang komplikasi lebih-lebih lagi apabila Norman berada di sisinya sepanjang tempoh masa untuk melahirkan.

"Saya rasa tenang sedikit ketika dalam keadaan sakit melalui proses kelahiran, Norman sempat memberi pelbagai nasihat.

"Dan sepanjang masa itu, saya hanya mengikut kata-katanya dan ternyata nasihat-nasihat yang diberikan banyak membantu saya melahirkan Darwisz, Alhamdulillah," tuturnya.

Sementara itu, Memey memberitahu, dia akan berpantang secara tradisional di rumahnya Kuala Lumpur selama dua minggu dan kemudian akan pulang ke kampungnya untuk meneruskan rawatan berpantangnya itu.

Pasangan itu bernikah pada 24 September 2011 di kampung halaman Memey di Felda Tenggaroh Selatan 1, Kota Tinggi, Johor

Sebelum ini, Norman pernah mendirikan rumah tangga dengan Abby pada 8 Januari 2002 dan dikurniakan tiga orang anak iaitu Mohamed Danish Hakim,8, Marissa Dania Hakim,6, dan Maria Danisha Hakim,3. Mereka bercerai pada 18 Disember 2008.

Artikel Berikut

Artikel Lain