suria

Ayu Damit Pernah Hilang Sabar Besarkan Anak

Ayu Damit
Ayu Damit
Ayu Damit

PETALING JAYA: Penyanyi Ayu Damit mengakui kadangkala hilang sabar apabila perlu menjaga dua orang anak yang nakal terutamanya ketika penat sewaktu pulang bekerja.

Ayu atau nama sebenarnya Norayu Damit, 24, berkata, sebagai ibu yang tegas, dia sering memukul anak-anaknya yang bertujuan untuk mendidik dan bukan mendera mereka

“Anak-anak yang sedang membesar pergerakan mereka aktif. Kadangkala bila kita balik bekerja, perasaan geram pada anak-anak tu wujud menyebabkan kita terpaksa memukul mereka untuk mendidik,” katanya kepada mStar Online.

Jelas Ayu, dua anaknya iaitu Syed Nasrul Haikal, 4,dan Sharifah Alya Adriana, 2, agak aktif menyebabkan banyak barang dalam rumah mereka rosak dan pecah.

“Biasanya kalau saya benar-benar marah, saya akan pukul mereka di tangan. Tapi tidaklah kuat. Saya mahu mereka takut dan dalam masa yang sama hormat kepada orang tua,” katanya.

Jelas wanita ini berbeza dengan suaminya iaitu Syed Fauzi Syed Baharuddin, 26, yang begitu sabar melayan anak-anak tanpa pernah memukul mereka.

Katanya, dalam sesebuah keluarga itu perlu ada seorang yang tegas agar anak-anak dapat membesar dalam keadaan seimbang tanpa sebarang masalah.

“Suami saya suka melayan anak-anak tetapi saya tidak sangat. Walaupun begitu anak-anak tetap manja dengan kami. Syukurlah,” ujarnya yang turut sedih dengan kes penderaan kanak-kanak yang semakin serius ketika ini.

Ayu menambah, disebabkan proses pembesarannya dalam keluarga sederhana dia sudah diajar untuk berdikari dan akan menerapkan perkara itu kepada anak-anaknya agar mereka tidak terlalu bergantung dengan keluarga untuk hidup.

“Saya bukan daripada keluarga senang. Ibu bapa mengajar saya untuk berdikari. Anak-anak saya pun saya akan ajar mereka seperti itu supaya mereka tahu bukannya senang nak hidup tanpa usaha,” jelasnya.

Sementara itu dalam perkembangan lain Ayu dalam proses menyiapkan single terbaharunya berjudul Hati Ini.

Dalam masa yang sama dia juga turut bekerja sebagai penyanyi di Restoran Cerana, Cheras dekat sini pada setiap malam dari hari Isnin hingga Rabu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain