suria

Konsert Nusantara Berjaya Satukan Malaysia & Indonesia

KUALA LUMPUR: Konsert Nusantara yang berlangsung selama tiga hari bermula Khamis (semalam) di Panggung Sari, Istana Budaya (IB) sarat dengan penekanan kepada budaya masyarakat Indonesia dan Malaysia.

Paparan gabungan dan pencampuran budaya di antara dua negara terserlah dengan memperlihatkan hubungan mesra antara Malaysia dan Indonesia di atas pentas sama.

Konsert pada malam pertama itu diserikan dengan lagu pembukaan daripada Hafiz dan Endang S Taurina menerusi lagu Seiring Sejalan.

Persembahan tarian dan lagu-lagu rakyat popular dari Indonesia seperti suku bangsa Bugis, Bawean, Acheh, Batak, Mandailing, Jawa dan Minang turut cukup menarik selain dapat mengenali budaya yang jarang-jarang dipaparkan kepada masyarakat Malaysia.

Tarian Gamelan Jawa, Angklung dan Rampak cukup memikat hati diselang-selikan dengan persembahan kebudayaan tempatan yang cukup sinonim dengan masyarakat di negara ini.

Penyanyi Rossa turut muncul menerusi lagu Mojang Priangan dalam bahasa Sunda yang cukup menarik perhatian sebelum meneruskan dengan dua lagu popularnya, Ayat-Ayat Cinta dan Pudar.

Kemunculan penyanyi veteran, Elly Kasim yang menyampaikan lagu Ampun Madeh mendapat tepukan gemuruh sebelum Datuk Yusni Hamid mengambil tempat menyampaikan tiga buah lagu.

Tidak ketinggalan penyanyi terkenal Malaysia, Datuk Siti Nurhaliza menggegarkan Panggung Sari dengan persembahan mantapnya menerusi tiga buah lagu iaitu Balqis, Nirmala dan Cindai.

Terdahulu, Siti tampil berduet dengan Hafiz menerusi lagu Muara Hati sebelum kembali ke pentas bersama Rossa untuk menyanyikan lagu Joget 106.

Antara artis lain yang turut terlibat adalah Bob Yusof dan Yazer yang turtu menghiburkan penonton pada ketiga-tiga malam persembahan.

Untuk malam kedua, penyanyi Black dan Stacy akan menghiburkan penonton manakala Datuk M.Nasir dan Ziana Zain pada malam ketiga (9 Mac).

Persembahan tu turut diiringi hampir 100 pemuzik yang diterbangkan khas dari Indonesia menampilkan pelbagai alatan tradisional dua negara.

Sementara itu, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim turut melancarkan Yayasan Ikatan Rakyat Malaysia Indonesia (YIRMI) yang bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan dua negara menerusi aktiviti kesenian dan kebudayaan.

Turut hadir Duta Besar Republik Indonesia ke Malaysia, Herman Prayitno.

Tiket bagi menyaksikan persembahan itu dijual dengan harga RM50, RM70, RM100, RM150, RM200, RM250 dan RM300.

Sebarang pertanyaan mengenai tiket boleh menghubungi 03-4026-5555.

Artikel Lain