Salah satu babak dalam teater Asmara Songsang.PETALING JAYA: Pelakon dan penyanyi, Najua P.Ramlee mengakui terpaksa menolak tawaran berlakon dan menyanyi bagi menumpukan perhatian sepenuhnya kepada bidang teater.Cucu kepada seniman agung nagara Allahyarham Tan Sri P.Ramlee ini menganggap bidang teater dapat memberi kepuasan dalam dirinya kerana ia merangkumi kesemua aspek dalam cabang seni tersebut. "Saya muncul dalam dunia lakonan bermula sebagai pelakon dan selepas menyambung pelajaran di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) saya terus berhenti berlakon drama untuk memberi tumpuan kepada bidang teater."Sehingga sekarang saya banyak berlakon untuk teater, bagi saya dalam teater saya boleh menyanyi, menari dan berlakon sekali gus," katanya kepada mStar Online.Najua yang sibuk dengan teater Asmara Songsang turut terlibat dalam siri jelajah teater ini di seluruh negara bermula Jumaat ini di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan seterusnya pada 25 Mac depan di Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Perak.Teater muzikal Asmara Songsang berkisarkan penglibatan golongan LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender) ini telah ditayangkan di Istana Budaya pada 2 Mac lalu.Tambah Najua lagi, memulakan tapak dalam bidang teater juga membantu dalam mengasah bakat seni yang ada dalam dirinya."Berlakon teater berbeza dengan berlakon drama, ia perlu masa yang panjang dan perlu latihan yang cukup untuk berada di atas pentas. Ia sedikit sebanyak dapat mengasah lagi lakonan saya," katanya.Dalam pada itu, ditanya tentang populariti kerana kedudukannya sebagai cucu kepada P.Ramlee, Najua berkata ia bukan sekadar populariti malah tanggungjawab dalam membawa nama tersebut lebih besar."Orang mungkin kata saya tumpang populariti datuk saya, tapi saya hanya ingin menyambung legasi beliau. Saya tidak mahu namanya terkubur begitu sahaja."Namun di sebalik itu juga, tanggungjawab saya sangat berat, harapan orang ramai terhadap lakonan saya sudah tentu tinggi apabila dikaitkan dengan mana P.Ramlee," katanya.Jelas Najua, biarpun dia cucu kepada Seniman Agung tersebut, namun dia akui tidak semua bakat P.Ramlee mampu diwarisinya."Saya tidak sama seperti P.Ramlee, saya tidak warisi semua bakat yang dia ada. Saya tidak pandai mencipta lagu atau berkarya seperti dia," katanya.