suria

Adi Putra Nekad Tarik Diri Dalam ABPBH Tahun Depan

Adi Putra enggan menyertai ABPBH 2013 pada tahun hadapan.
Adi Putra enggan menyertai ABPBH 2013 pada tahun hadapan.
Adi Putra enggan menyertai ABPBH 2013 pada tahun hadapan.

PETALING JAYA: Pelakon Adi Putra nekad tidak mahu dicalonkan dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2013 (ABPBH 2013) pada tahun hadapan demi menjaga hati para peminatnya.

Adi atau nama sebenarnya Mohamed Hadi Putera, 32, berkata, penarikan diri itu dibuat bagi meredakan keresahan peminat yang curiga terhadap keputusan pengundian anugerah tersebut kononnya tidak telus.

"Saya tarik diri kerana enggan peminat tidak berpuas hati dengan keputusan pengundian itu lebih-lebih lagi selepas membaca pelbagai respons yang tidak menyenangkan daripada mereka di Twitter.

"Harap-harap selepas ini tiada lagi rasa tidak puas hati berlaku. Jujurnya, saya mahu menjaga hati peminat-peminat dan masyarakat kerana saya bekerja untuk mereka.

"Memandangkan mereka tidak senang tentang hal ini, saya tarik diri dengan ikhlas," katanya yang dihubungi mStar Online di sini, Rabu.

Baru-baru ini peminat Adi Putra yang menggelar diri mereka ‘1HotLovers’ mempersoalkan cara pengiraan undi pemenang ABPBH 2012 selepas akhbar Berita Harian (BH) melaporkan pelakon itu hanya menerima undi sekitar 24,000.

‘1HotLovers’ mendakwa mereka menghantar 42,000 borang pengundian.

Berdasarkan jumlah 24,000 undian itu, Adi tersenarai di tempat keempat dan tewas di tangan Neelofa yang mendapat undian sebanyak 45,981, Zizan Razak (55,036 undi), Aaron Aziz (68,205 undi) dan Shaheizy Sam (79,656 undi).

ABPBH 2012 diadakan pada 7 April lalu di Stadium Putra Bukit Jalil dekat sini yang mengangkat pelakon Shaheizy Sam sebagai Bintang Paling Popular.

Menerusi acara itu, Adi dicalonkan dalam beberapa kategori antaranya Watak Jahat Dalam Filem Atau Drama Popular, Artis Lelaki Stailo, Gandingan Di Layar Serasi, Pelakon TV Lelaki Popular dan Pelakon Filem Lelaki Popular.

Bagaimanapun tambah Adi, dia berharap keputusan menarik diri itu tidak akan dipandang serong oleh sesetengah pihak yang mungkin menganggap dia sengaja mewujudkan alasan kerana tidak berpuas hati dengan keputusan berkenaan.

Beritahu Adi, walaupun tidak menyertai ABPBH 2013, dia percaya hal tersebut tidak akan mengganggu kariernya sebagai seorang pelakon.

"Sudah 11 tahun saya dalam industri seni dan saya dikenali bukan kerana anugerah yang diraih.

"Ini semua terpulang kepada rezeki masing-masing. Bagaimanapun, penarikan saya dalam ABPBH tahun hadapan bukan untuk selama-lamanya. Mungkin pada tahun-tahun yang akan datang, saya akan menyertainya semula," ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pengelola ABPBH 2012, Hanizam Abdullah yang dihubungi terkilan dengan segelintir pihak yang mempertikaikan keputusan anugerah itu selain menuduh BH mempunyai agenda untuk menaikkan nama artis-artis tertentu.

"Tiada sebab kenapa pihak kami mahu menipu peminat-peminat yang mengundi. Undian yang diterima telah diaudit secara telus dan ia tidak sepatutnya dipertikaikan.

"Dalam hal Adi Putra, jika peminat memilih namanya ke anugerah ini, dia tetap akan dicalonkan walaupun pada dasarnya dia mahu menarik diri. Melainkan peminat-peminat tidak meletakkan namanya.

"Sepanjang 26 tahun sejarah ABPBH, belum pernah lagi artis yang menyatakan hasrat untuk mengundur diri kecuali Datuk Siti Nurhaliza atas sebab-sebab tertentu.

"Ini kerana pemilihan artis bukan pihak kami yang tentukan, tetapi peminat," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain