Cha Cha MaembongPETALING JAYA: Pelakon baru Cha Cha Maembong tidak hirau apabila nama kakaknya, Emma Maembong lebih popular berbandingnya walaupun dia yang terlebih awal ‘terjun’ dalam dunia lakonan.Cha Cha atau nama sebenarnya Siti Aisyah Ismail, 17, berkata, dia juga tidak cemburukan Emma malah gembira dengan kejayaan kakaknya yang baru setahun dalam industri seni tempatan. "Tak mungkin saya nak cemburukan dia (Emma). Sebaliknya saya berbangga memiliki seorang kakak yang berjaya dan popular atas usaha gigihnya sebagai pelakon."Lagipun dia kakak saya dan saya pun masih muda, banyak benda yang masih perlu belajar dan perjalanan dalam bidang ini juga masih jauh lagi. Dia juga membuatkan saya bersemangat untuk meneruskan karier lakonan saya," katanya.Beritahu Cha Cha, dia mula menyertai kerja-kerja seni seawal berusia lima tahun sebagai model untuk iklan-iklan di televisyen, kemudian berhenti pada usia 12 tahun dan kini kembali semula bergiat aktif di bidang lakonan sejak dua tahun lalu.Sementara itu, Cha Cha turut bersyukur masalah pelat yang dihadapinya bukanlah satu halangan untuk aktif dalam kerja-kerja lakonan.Malah pelakon kacukan Melayu dan Scotland ini gembira apabila pihak produksi tidak menganggap ia satu masalah tetapi dia sendiri sedang berusaha memperbaiki sebutannya agar lebih jelas ketika berlakon."Mula-mula saya risau juga memikirkan adakah pihak produksi terbuka dengan masalah pelat saya. Lebih-lebih lagi saya sukar menyebut huruf 'R'."Bagaimanapun saya cuba memperbaiki kelemahan itu agar tidak memburukkan lakonan yang dibawakan," seloroh pelakon yang popular dengan drama Mimpi Cinderella dan Setia Hujung Nyawa ini.Dalam perkembangan lain, Cha Cha bakal muncul menerusi drama terbaharu terbitan Wall's Cornetto (Unilever (Malaysia) Holdings Sdn. Bhd) iaitu Cornetto Uda & Dara.Siri drama ini mengisahkan tiga pasangan anak muda yang melalui perjalanan hidup penuh dugaan dan cabaran dalam mencari identiti sehingga memperoleh kejayaan masing-masing."Seronok juga berlakon dalam drama ini. Memandangkan saya masih baru dalam industri ini, banyak tunjuk ajar yang diberikan oleh mentor-mentor saya seperti Yasmin Hani dan Tony Eusoff," tuturnya.Selain Cha Cha Cornetto Uda & Dara dibarisi pelakon iaitu Dafi, Alif Hadi, Jed, Radhi Khalid, Mustapha Kamal, Namron, Yasmin Hani, Azhar Sulaiman, Shaq, Alam, dan Normah Damanhuri.Drama ini bakal disiarkan menerusi saluran Astro Ria (104) mulai 1 Mei depan setiap Rabu, pukul 9 malam.Siaran ulangannya pula ialah pada hari Sabtu, pukul 5 petang.