suria

Mariani Cerita Petua Kekal Sihat & Tidak Pernah Minta Bayaran

Mariani tidak pernah meletakkan sebarang harga tertentu jika ada produksi ingin mengambilnya berlakon.
Mariani tidak pernah meletakkan sebarang harga tertentu jika ada produksi ingin mengambilnya berlakon.
Mariani tidak pernah meletakkan sebarang harga tertentu jika ada produksi ingin mengambilnya berlakon.

KUALA LUMPUR: Pelakon veteran, Mariani tidak pernah meletakkan sebarang harga kepada pihak produksi yang ingin mengambilnya berlakon dalam drama atau filem terbitan mereka.

Mariani atau nama sebenarnya Mariani Ismail, 80, berkata, apa juga nilai bayaran yang diterimanya adalah rezeki daripada Allah.

"Sepanjang saya berlakon belum pernah saya meletakkan 'wang hantaran' kepada pihak produksi dan saya biar mereka yang tentukan sesuai dengan pengalaman yang saya ada.

"Biar berapa pun yang mereka berikan saya tetap terima dan menganggap ia sebagai rezeki saya daripada Allah," katanya kepada mStar Online ketika ditemui pada majlis sambutan hari jadinya yang ke 80 di Saloma Bistro, malam Jumaat lalu.

Pada majlis berkenaan, Mariani diraikan penuh meriah dengan kehadiran rakan-rakan artis seperti Datin Umi Kalthom, Mimi Loma, Tan Sri Jins Samsuddin dan Datuk Maria Menado.

Turut hadir anak-anaknya dan sanak saudara.

Bagaimanapun kata Mariani, setakat ini dia berpuas hati dengan bayaran yang diberikan oleh pihak produksi malah ada di antara mereka yang memberikannya bonus.

Dalam pada itu, Mariani berkata, beliau akan terus berlakon selagi diperlukan dan mahu melihat industri lakonan dan perfileman tempatan terus berkembang maju.

"Sejak saya berusia belasan tahun saya sudah berlakon dan akan terus berlakon selagi diperlukan dan lakonan membuatkan saya terus aktif selain dapat menyumbangkan sesuatu kepada industri," katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai rahsianya kekal sihat, Mariani memberitahu dia mengamalkan petua berjalan kaki dari Chow Kit ke Masjid India dekat sini setiap pagi.

Katanya aktiviti itu dilakukan sejak sekian lama dan selain dapat menjaga kesihatan beliau juga berpeluang bertemu dengan peminat yang menyapa jika terserempak dengannya.

"Ini mungkin adalah salah satu sebab saya masih sihat kerana mengamalkan berjalan kaki setiap hari dan saya tidak pernah merungut malah seronok dapat melakukannya kerana tidak mahu manjakan diri pada usia sekarang," jelasnya.

Tambah Mariani, beliau juga sentiasa berfikiran positif dan hidup dalam keadaan gembira.

Dalam perkembangan lain, Mariani baru sahaja selesai menjalani penggambaran dua buah drama berjudul Laila Majnun dan Anak Hero.

Mariani sebelum ini terkenal dengan lakonannya dalam filem seperti Masam-Masam Manis, Nasib Si Labu Labi, Tiga Abdul dan Ahmad Albab.

Artikel Lain