suria

Stesen TV Jepun Minat Beli Program 'Showdown' 8TV

Showdown 2013 akan tampil dengan tiga kategori. Foto SHAARI CHE MAT
Showdown 2013 akan tampil dengan tiga kategori. Foto SHAARI CHE MAT
Showdown 2013 akan tampil dengan tiga kategori. Foto SHAARI CHE MAT

KUALA LUMPUR: Kejayaan tiga musim program pertandingan tarian Showdown membuatkan stesen televisyen di negara Jepun berminat untuk membeli rancangan tersebut secara francais.

Pengurus Besar Kumpulan 8TV dan ntv7, Airin Zainul, berkata, pihak stesen televisyen negara itu tidak menyangka Malaysia mempunyai sebuah produk yang menggunakan konsep tarian berkumpulan, berbeza dengan pertandingan lain yang hanya melihatkan bakat nyanyian atau tarian solo.

"Kami sudah pun bercakap dengan pihak stesen berkenaan dan mereka berminat untuk membeli program ini secara francais.

"Lebih-lebih lagi melihatkan konsep teknikal kamera dan grafik logo Showdown, mereka sukakannya.

"Bagaimanapun buat permulaan hanya satu negara yang bersetuju membeli produk kami. Melihatkan program-program Jepun mempunyai impak kuat kepada negara luar, saya percaya jenama Showdown akan lebih kukuh dengan pembelian francais di negara lain pula," katanya.

Airin ditemui pada pelancaran Showdown 2014 musim keempat di The Pool Ampang di sini pada Rabu.

Program tersebut bakal menyaksikan enam penari antarabangsa popular menjadi juri jemputan dalam program pertandingan tarian Showdown 2013 yang akan bermula pada 19 Mei ini.

Juri-juri tersebut ialah Sheena Vera Cruz dari Filipina manakala YNOT, Junior Boogaloo, Bboy Full Deck, Mr Wiggles dan Jay Smooth dari Amerika Syarikat.

Beritahu Airin, juri jemputan itu merupakan salah satu kelainan yang diubah dalam konsep program Showdown selain mutu tarian para peserta yang dianggap lebih hebat berbanding tahun-tahun sebelumnya.

"Tahun ini, juri tetap Showdown 2013 iaitu Joe Flizzow dan Mapple Loo akan ditemani penari-penari profesional sebagai membuat penilaian peserta.

"Menerusi pendedahan sebegini, ia sekali gus dapat menunjukkan bakat para peserta ini yang mungkin boleh di bawa ke mata dunia selain mendapat tunjuk ajar daripada golongan penari hebat itu," ujarnya.

Sementara itu, Showdown 2013 bakal menampilkan tiga kategori berbeza iaitu kategori 'Junior', 'Terbuka' dan 'All Star'.

Bagi kategori 'Junior', ia dibuka untuk warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke bawah dan kategori 'Terbuka' adalah untuk individu tanpa had umur.

Uji bakat akan diadakan pada Sabtu ini pukul 9 pagi hingga tiga petang di Dewan A, Menara Matrade, Jalan Khidmat Usaha, off Jalan Duta di sini.

Manakala untuk kategori 'All Star' ia terbuka kepada penari-penari jemputan yang akan beraksi terus di pentas Showdown 2013.

Juara bagi kategori 'Junior' akan meraih wang tunai sebanyak RM10,000 dan tempat kedua menerima sebanyak RM5,000.

Bagi kategori 'Terbuka', juara akan memenangi wang tunai sebanyak RM50,000 serta perbelanjaan ke pertandingan tarian peringkat Asia. Naib juara tidak pulang dengan tangan kosong kerana pemenang akan membawa pulang wang tunai RM20,000.

Untuk kategori 'All Star', juara akan mendapat RM75,000 berserta wang RM125,000 dan perbelanjaan pemenang yang akan ke pertandingan tarian peringkat antarabangsa. Naib juara pula akan mendapat RM30,000.

Showdown 2013 bakal bersiaran setiap Sabtu pada pukul 10.30 malam dan Ahad (10 malam) bermula 19 Mei ini di 8TV.

Artikel Lain