suria

Siti Nurhaliza Teruja Hasrat Bikin Konsert di DFP Terlaksana

Siti bakal membuat persembahan di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada 5 hingga 7 Julai depan.
Siti bakal membuat persembahan di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada 5 hingga 7 Julai depan.
Siti bakal membuat persembahan di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada 5 hingga 7 Julai depan.

PETALING JAYA: Penyanyi Datuk Siti Nurhaliza mengakui teruja apabila hasratnya untuk mengadakan konsert solo di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) akhirnya terlaksana apabila bakal muncul dengan persembahan Siti Nurhaliza in Symphony selama tiga hari pada Julai depan.

Siti, 34, berkata, pelawaan pihak pengurusan DFP untuk mengadakan konsert di pentas berprestij itu disambut dengan tangan terbuka dan menganggap ia sebagai impian menjadi kenyataan.

"Saya pernah membuat persembahan bersama Tan Sri S.M. Salim pada tahun 2001 di DFP tetapi perasaan kali ini berbeza kerana ia adalah konsert solo pertama saya di sana.

"Malah perasaan gementar dan teruja sudah mula ada kerana ini adalah salah satu impian saya," katanya kepada mStar Online.

Konsert Siti Nurhaliza in Symphony akan berlangsung pada 5 hingga 7 Julai depan dan penyanyi itu akan menyampaikan 10 buah lagu.

Dalam pada itu, Siti berkata, seleksi lagu yang bakal disampaikan pada malam itu nanti dipilih oleh pihak DFP sendiri bersesuaian dengan muzik orkestra yang bakal mengiringi persembahannya.

Jelas Siti, beliau tiada masalah dengan keputusan pihak DFP sebaliknya apa yang lebih utama beliau dapat memberikan persembahan mantap dan bertenang buat penonton yang hadir.

"Saya tiada masalah dengan pemilihan lagu yang bakal diputuskan oleh DFP kerana apa yang lebih penting ia dapat disampaikan dengan baik dan penuh bertenaga.

"Bukan mudah untuk menyanyi dengan iringan muzik orkestra dan perkara itu yang akan saya beri perhatian supaya dapat memberikan persembahan terbaik untuk penonton yang hadir," jelasnya yang bakal diiringi oleh 80 pemuzik profesional daripada DFP.

Sementara itu, Siti berkata, walaupun gementar tetapi pengalaman membuat persembahan dibeberapa pentas berprestij seperti Istana Budaya dan Royal Albert London Hall diharap dapat membantunya mengurangkan rasa gemuruh itu.

Tiket untuk menyaksikan persembahan itu dijual pada harga RM150 dan ke atas.

Artikel Lain