suria

Jimmy Shanley Habis RM20,000 Selesai Kes Mahkamah

Jimmy mengakui sudah letih banyak menghabiskan masa di mahkamah.
Jimmy mengakui sudah letih banyak menghabiskan masa di mahkamah.
Jimmy mengakui sudah letih banyak menghabiskan masa di mahkamah.

PETALING JAYA: Pengacara dan penyampai radio U FM, Jimmy Shanley mengakui telah membelanjakan wang sebanyak RM20,000 sebagai yuran guaman bagi menyelesaikan kemelut rumah tangganya dengan bekas isteri, Nursuhaila Eliani Suhaimy yang berlarutan sejak tahun 2010.

Jimmy, 33, berkata, jumlah tersebut bagi menampung kos pelbagai kes termasuk cerai, tuntutan anak, nusyuz dan kembali taat yang dibuat terhadap Nursuhaila sebelum ini.

"Saya telah menghabiskan sebanyak RM20,000 dalam masa dua tahun setengah untuk pelbagai kes yang difailkan di mahkamah seperti cerai, anak, kembali taat dan sebagainya bagi menyelesaikan kemelut rumah tangga kami," jelasnya kepada mStar Online.

Tambah Jimmy, dia bagaimanapun tidak menyesal dengan perkara itu kerana ia adalah harga yang perlu dibayar bagi menegakkan haknya sebagai seorang suami dan bapa.

"Saya tidak menyesal kerana kita perlu memperjuangkan hak dan itulah harga yang perlu saya bayar untuk mempertahankan perkara itu," ujarnya.

Jimmy dan Nursuhaila telah mendirikan rumah tangga pada 1 Oktober 2010 di kediaman keluarga perempuan di Sunway Rahman Putera, Sungai Buloh, dekat sini.

Kedua-dua mereka mula tinggal berasingan sejak 21 Oktober 2010, iaitu 20 hari selepas bernikah sebelum bercerai pada 10 Oktober 2012.

Dalam pada itu, Jimmy berkata, dia bimbang jika anak tunggalnya Zahrah Rania yang kini berusia hampir dua tahun tidak mengenalinya sebagai bapa apabila Nursuhaila telah menfailkan permohonan ubah perintah serta penggantungan perintah mahkamah terhadap hak bermalam bersama anak mereka.

Jelas Jimmy, dia tidak faham mengapa bekas isterinya berbuat demikian dan sering memberikan alasan apabila dia ingin berjumpa dengan anaknya itu.

"Saya jika diikutkan hati tidak mahu lagi menjejakkan kaki ke mahkamah kerana sudah letih dua tahun berulang alik ke sini dan permohonan terbaharu bekas isteri cukup sukar untuk saya fahami.

"Tetapi seperti mana sebelum ini saya tetap akan berjuang untuk mempertahankan hak saya sebagai bapa kepada Zahrah kerana bimbang dia tidak mengenali saya lagi sebagai ayah kandungnya," katanya.

Jimmy turut memfailkan permohonan untuk mendapatkan perintah komital bagi memenjarakan bekas isterinya itu atas dakwaan ingkar terhadap perintah mahkamah berhubung hak penjagaan anak mereka.

Dalam perkembangan lain, Jimmy berkata, selain sibuk dengan tugas sebagai deejay U FM dia kini banyak menghabiskan masa terhadap pengajiannya di peringkat ijazah sarjana di Universiti Teknologi Mara Shah Alam (UiTM) dalam bidang pengurusan perniagaan yang sudah masuk tahun terakhir.

"Kehidupan saya kini tertumpu kepada kerja dan belajar. Selebihnya saya banyak menghabiskan masa di rumah jika tiada apa-apa aktiviti," jelasnya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain