suria

8 Peserta Bakal Ke 'Konsert Boom Muzik Ekstra'

Para peserta 'Konsert Boom Muizk Ekstra' bersama pihak penerbitan RTM.
Para peserta 'Konsert Boom Muizk Ekstra' bersama pihak penerbitan RTM.
Para peserta 'Konsert Boom Muizk Ekstra' bersama pihak penerbitan RTM.

KUALA LUMPUR: Selepas 12 episod berentap dalam program pertandingan pencarian bakat Muzik Ekstra, seramai lapan peserta bakal beraksi pada pusingan akhir Konsert Boom Muzik Ekstra yang akan berlangsung pada 8 Julai depan.

Konsert terbitan RTM itu akan diadakan secara langsung di Auditorium Perdana Angkasapuri menerusi saluran TVi, pukul 8.30 malam.

Menurut Timbalan Pengarah Seksyen Produksi Bahagian Program TV, Norliza Mohd Ali, lapan peserta akhir yang dipilih itu berdasarkan 100 peratus pemilihan penonton menerusi undian khidmat pesanan ringkas (SMS) dan laman sosial Facebook.

"Bakat-bakat yang digilap dalam Muzik Ekstra adalah merupakan bekas peserta rancangan-rancangan terbitan RTM terdahulu yang gagal tetapi diberi peluang kedua dalam program ini.

"Memandangkan kebanyakan mereka sudah pun dikenali penonton, maka konsep undian di Facebook dan SMS lebih mudah selain ia juga mengikut trend generasi muda zaman kini.

"Tambahan pula penonton sudah bijak menilai peserta-peserta terbaik.

"Dan lapan barisan peserta masing-masing mempunyai kekuatan persembahan yang tersendiri," katanya pada sidang media konsert berkenaan di Restoran Istana Bambu di sini, Isnin.

Pertandingan berkenaan mengetengahkan bakat dan kreativiti peserta dalam vokal nyanyian, tarian, bermain alat muzik dan komedi.

Barisan peserta yang bakal beraksi pada peringkat akhir Muzik Ekstra ialah Sam Saiful, 4 Stars, Dila Suhaizat dan Mohd Faiz bagi kategori bawah vokal manakala Stop Reverse Crew dan Return Crew (tarian berkumpulan), Fariz Hilmi (silap mata) sementara Azrul Affandi akan menampilkan bakat bermain seruling bambu.

Dalam pada itu, tambah Norliza, bagi persembahan peringkat akhir nanti, para peserta akan diadili juri sebanyak 50 peratus manakala 50 peratus lagi adalah undian penonton di Facebook dan SMS.

"Walaupun program ini memberikan kuasa undian kepada penonton, namun pada hujung pertandingan pihak kami tetap akan masuk campur dalam pemilihan peserta yang terbaik," ujarnya.

Juara program tersebut bakal menerima hadiah wang tunai sebanyak RM20,000, naib juara (RM15,000), ketiga (RM8,000) manakala lima peserta lain akan menerima wang sagu hati RM2,000.

Selain persembahan peserta, turut dijemput penyanyi Tomok, Azlan & The Typewriter, Erni, Aisha Sofea, Rehana dan DJ Fuzz bagi memeriahkan konsert tersebut.

Program ini akan dikendalikan oleh pengacara Hanis Zalikha yang akan ditemani oleh beberapa pengacara jemputan dan juga ikon-ikon TVi.

Artikel Lain