suria

'Abang Jem' Tidak Terkilan Nama Digunakan Salih Yaacob

Jamaludin Mat atau lebih dikenali sebagai Abang Jem.
Jamaludin Mat atau lebih dikenali sebagai Abang Jem.
Jamaludin Mat atau lebih dikenali sebagai Abang Jem.

KUALA LUMPUR: Pelawak veteran Jamaludin Mat atau lebih dikenali sebagai Abang Jem tidak terkilan apabila namanya digunakan oleh pelawak terkenal Salih Yaacob sebagai satu watak lelaki lembut dalam segmen pagi di Sinar FM.

Malah Jamaludin, 52, berkata, dia berterima kasih dengan pelawak tersebut kerana membuka semula sumber rezekinya dalam industri hiburan setelah lama menyepi.

"Saya tidak pernah rasa terkilan atau berkecil hati dengan Salih Yaacob kerana menggunakan nama saya sebagai watak dalam segmennya di Sinar FM.

"Saya tidak pernah rasa seperti ia mempermainkan nama itu tetapi sebaliknya dia membuka sumber rezeki saya. Disebabkan itu juga saya dipanggil untuk membuat persembahan di majlis-majlis tertentu," katanya ketika ditemui pada majlis penyampaian sumbangan wang ihsan artis veteran di Restoran Warisan Pak Engku, Dataran Merdeka di sini, Rabu lalu.

Pelawak yang terkenal sekitar 80-an ini berkata, selepas bersara dari Badan Kesenian Tentera Darat dengan pangkat Pegawai Waran II beberapa tahun lalu, dia mula aktif kembali dalam pelbagai acara hiburan.

"Selepas bersara saya ada menjadi guru tarian untuk beberapa kerabat diraja dan selain itu juga saya ada undangan persembahan pentas.

"Alhamdulillah rezeki masih ada dan tidak pernah putus, cuma saya tidak keluar di televisyen dan media-media lain," katanya.

Bercerita tentang nama Abang Jem, Jamaludin berkata, gelaran itu diberikan kepadanya oleh rakan-rakan kerana dia suka memesan roti bersama jem setiap kali bersarapan pagi.

"Semasa dalam tentera dulu sekitar tahun 1973, kawan-kawan saya yang beri nama ini kerana mereka kata saya suka makan jem bila bersarapan. Tidak sangka pula ia kekal sehingga hari ini," ujarnya.

Jamaludin sebelum ini juga pernah terlibat dalam rancangan kanak-kanak untuk siaran RTM iaitu ALONG, D dan Do serta Joe Jambul.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain