Fazli Zainal. KUALA LUMPUR: Penyanyi Fazli Zainal menolak cakap-cakap orang kononnya dia hanya dapat dilihat pada acara-acara majlis berbuka berbuka puasa sahaja sebaliknya memberitahu masih aktif sebagai penyanyi.Fazli, 36, berkata, namanya kurang menyerlah disebabkan cerita tentangnya jarang dipaparkan di akhbar selain persembahan yang melibatkannya dibuat secara tertutup. "Saya bukan artis ‘bulan Ramadan’ sahaja seperti yang orang kata. Tidak benar saya hanya muncul pada bulan Ramadan. Ia satu kebetulan sebenarnya. Rezeki saya dalam bidang nyanyian masih ada cuma orang sahaja yang tidak tahu," katanya kepada mStar Online.Fazli ditemui pada majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim daripada Pusat Jagaan Anak Yatim Sri Kundang di Restoran Intai-Intai, Ampang di sini pada Rabu.Dalam perkembangan sama, Fazli berkata, dia juga tidak berasa tergugat dengan kehadiran penyanyi baru yang lebih mendapat perhatian kerana ia adalah rezeki masing-masing.Jelas Fazli, sebagai seorang yang telah lama bertapak dalam bidang nyanyian dia mempunyai pengikutnya tersendiri yang banyak memberi semangat kepadanya."Jika seseorang artis itu benar-benar berbakat dan tidak hanya bersandarkan kepada rupa Insya-Allah mereka akan kekal lama dalam industri walaupun populariti tidak begitu gah."Saya juga bersyukur kerana masih ramai peminat yang masih menyokong perjalanan karier saya dan akan terus menyanyi," katanya.Sementara itu, Fazli berkata, dia baru sahaja pulang dari Sydney, Australia kerana menjalani penggambaran muzik video terbaharunya berjudul Sejuta Nafas Cinta.Jelas Fazli, walaupun lagu tersebut telah lama dirakamkan iaitu pada tahun 2008 namun atas permintaan peminat dia sanggup melaburkan wangnya sendiri sebanyak RM8,000 untuk menghasilkan muzik video tersebut."Peminat mahu muzik video lagu itu dihasilkan di samping versi karaoke bagi memudahkan mereka untuk menyanyi lagu tersebut di pusat karaoke."Kebetulan saya ke Sydney untuk bercuti jadi ambil peluang itu juga untuk merakamkan muzik video berkenaan," katanya.Dalam perkembangan lain, Fazli berkata, dia akan muncul dengan single terbaharunya berjudul Bukan Yang Terakhir pada September depan dan ia dicipta oleh penyanyi dan komposer, Hazami.