suria

Alyah Mahu Jumpa Wartawan Untuk Pulih Hubungan

Wajah terbaharu Alyah
Wajah terbaharu Alyah
Wajah terbaharu Alyah

KUALA LUMPUR: Penyanyi Alyah berhasrat untuk mengadakan pertemuan dengan wartawan hiburan di negara ini selepas Hari Raya Aidilfitri nanti bagi menjelaskan salah faham kononnya dia mahu ‘gam’ pihak media.

Alyah atau nama sebenarnya Noor Hasliah Abu Hasan, 32, berkata, pertemuan itu dijangka akan diaturkan kira-kira dua minggu selepas Syawal.

“Saya sudah merancang untuk bertemu dengan wartawan agar masalah kononnya saya hendak gam media dapat diselesaikan. Dengan cara itu saya fikir dapat juga mengeratkan hubungan antara saya dengan pihak media,” katanya.

Alyah ditemui pada majlis agihan bubur lambuk untuk berbuka puasa kepada pemilik kenderaan yang melalui Jalan Putra di sini, Rabu.

Majlis berkenaan anjuran Jamu Mak Dara Sdn Bhd bersama Hotel Seri Pasific, Bank Kerjasama Rakyat Malaysia (Bank Rakyat) dan Restoran Nj Zenith.

Terdahulu kontroversi Alyah dengan media tercetus apabila penyanyi lagu Tak Mungkin Kerana Sayang itu dikatakan mahu gam sebuah akhbar selepas tidak berpuas hati dengan laporan akhbar terbabit kerana melaporkan berita kononnya dia sedang menunggu lamaran konduktor muzik, Datuk Ramli MS.

Dalam pada itu Alyah berkata, jalan terbaik untuk dia lakukan ialah meminta maaf dengan semua pihak media yang selama ini banyak membantu menaikkan kerjaya seninya.

Dia juga seboleh-boleh enggan hubungannya dengan rakan-rakan watawan hiburan menjadi keruh walaupun kadang kala ada laporan yang ditulis itu mungkin mengguris hatinya.

“Saya cuma mahu menjernihkan keadaan. Sebab itulah saya rancang untuk mengadakan majlis pertemuan ini selepas Hari Raya Aidilfitri nanti. Saya juga tidak mahu perkara itu terus berlanjutan,” katanya.

Ditanya kesan terhadap isu itu Alyah tidak menafikan berhadapan degan tekanan perasaan apatah lagi dalam keadaan terpaksa menjaga ibunya, Raja Norsiah Raja Ali, 68, yang menghidap sakit jantung.

Bagaimanapun dia bersyukur dapat menempuh dugaan itu dengan tenang walaupun kejadian tersebut turut mempengaruhi emosi ibunya.

Sementara itu diminta pandangan mungkin beliau mempunyai seorang pengurus yang tidak bijak menangani isu seperti itu Alyah berkata, dia tidak mahu menuding jari kepada mana-mana pihak sebaliknya mengambil pendekatan untuk sama-sama bermuhasabah diri selain belajar dalam setiap kesilapan yang dilakukan.

“Saya tidak mahu salahkan sesiapa. Apa yang penting kejadian ini memberi pengajaran kepada semua pihak termasuklah Alyah sendiri,” jelasnya.

Bercerita mengenai hubungannya dengan Ramli pula Alyah memberitahu, segala urusan jodoh diserahkan kepada Allah untuk menentukannya.

Kata Alyah, pada usianya yang sudah mencecah 32 tahun, perasaan untuk memiliki keluarga dan mempunyai suami telah ada dalam dirinya tetapi biarlah perkara itu terlaksana apabila tiba masanya.

“Siapa yang tak ingin kahwin dan ada keluarga sendiri? Tetapi Alyah ini perempuan... apa-apa pun kita serah kepada jodoh,” katanya.

Artikel Lain