Black bakal bernikah pada September ini.KUALA LUMPUR: Penyanyi Black mengesahkan bakal berkahwin dengan tunangnya yang dikenali sebagai Cira Khairi pada September ini namun tidak dapat mendedahkan tarikh sebenar majlis itu.Black atau nama sebenarnya, Hanifah Md. Hanafiah, 26, berkata, pihak pengurusannya iaitu The 8 Unit akan mengadakan satu sidang media khas bagi memaklumkan mengenai perkara itu selepas Hari Raya Aidilfitri kelak. "Apa yang boleh saya katakan saya akan berkahwin pada September ini dan selebihnya kena tunggu pihak pengurusan buat sidang media mengumumkan perkara ini dengan lebih lanjut."Bagaimanapun saya sebenarnya tidak mahu mengadakan sidang media tetapi oleh kerana ia melibatkan banyak pihak jadi saya terpaksa akur," jelasnya kepada mStar Online.Black dan Cira mengikat tali pertunangan pada 26 Januari lalu dalam satu majlis sederhana yang dihadiri oleh keluarga terdekat kedua-dua belah pihak.Dalam perkembangan sama, Black berkata, persiapan perkahwinannya telah hampir 80 peratus siap dan mengakui berdebar menunggu hari bahagianya itu."Alhamdulillah persiapan berjalan lancar malah ada beberapa penaja turut sudi menaja perkahwinan kami nanti namun saya tidak boleh beri sebarang maklumat lanjut dan kena tunggu pada sidang media itu nanti," katanya.Dalam perkembangan lain, Black berkata, bulan Ramadan ini dia kembali berniaga buah tembikai di bazar Ramadan di Pantai Dalam dekat sini dan bersyukur gerai buahnya itu mendapat sambutan."Saya pilih jual buah tembikai kerana buah tersebut sentiasa mendapat perhatian orang terutama di bulan Ramadan," jelasnya.Selain itu, Black berkata, dia juga bakal muncul dengan dua single terbaharu iaitu Takkan Terpisah yang turut dijadikan lagu tema drama Jodoh Itu Milik Kita untuk siaran Astro dan Puisi Sang Dewi lagu tema filem Lemak Kampung Santan.