Robin GibbMENDIANG Robin Gibb, salah seorang anggota kumpulan pop terkemuka dunia The Bee Gees telah mewasiatkan harta dan wang tunai berjumlah £26 juta Pound Sterling (RM126.7 juta) kepada isteri dan anak-anaknya.Dwina, 60, adalah isteri kedua Robin dan bersamanya mereka mempunyai seorang anak bernama Robin-John, 30, manakala Robin juga mempunyai dua orang anak hasil daripada perkahwinannya yang pertama. Mereka ialah Spencer, 41, dan Melissa, 39. Robin-John dan Spencer kini mengikut jejak langkahnya sebagai penyanyi dan juga pengubah lagu.Namun begitu, akhbar Britain, The Daily Mail mendedahkan yang Gibb bagaimanapun tidak mewasiatkan sebarang peninggalan wang dan juga harta kepada anak luar nikahnya yang bernama Snow Robin.Snow dilahirkan pada tahun 2008 hasil perhubungannya dengan pembantu rumahnya yang bernama Claire Yang. Kanak-kanak itu kini berusia empat tahun.Terdapat khabar angin yang mengatakan Robin telah meninggalkan wang berjumlah £5 juta (RM24.3 juta) kepada Claire dan anaknya Snow sejurus sebelum dia meninggal dunia setahun yang lalu.Robin meninggal dunia akibat kanser kolon dan hati pada usia 62 tahun pada Mei tahun lalu.Ketika Robin meninggal dunia, Dwina dilaporkan enggan membenarkan Snow dan ibunya menghadiri majlis pengebumian suaminya itu.Menurut akhbar itu lagi jumlah harta pusaka yang berjumlah £26 juta (RM126.7 juta) itu adalah selepas cukai dan ia termasuklah semua aset peninggalan Gibb di United Kingdom tetapi tidak termasuk asetnya di Amerika Syarikat atau mana-mana aset yang dimiliki bersama dengan Dwina.Kesemua wang dan aset yang diwariskan kepada anak-anaknya itu telah diamanahkan ke dalam sebuah yayasan dengan Dwina dinamakan sebagai penerima segala keuntungan hasil daripada harta-harta tersebut sehinggalah kepada kematiannya.Dwina juga dinamakan sebagai pemegang amanah dan penerima keuntungan hasil daripada katalog muziknya yang dikongsi bersama dua saudara yang lain iaitu abang sulungnya Barry dan saudara kembarnya Maurice yang meninggal dunia jauh lebih awal daripadanya juga kerana kanser kolon.Antara lagu hit ciptaan bersama mereka termasuklah Stayin Alive dan How Deep Is Your Love.Sementara itu dua orang anaknya - Spencer dan Melissa - akan menerima wang tunai berjumlah £500,000 seorang dengan serta merta sebaik sahaja wasiat tersebut disahkan oleh undang-undang manakala harta dan aset yang lain akan di bahagikan sama rata dengan adik mereka Robin-John selepas kematian Dwina.Bagaimanapun, Claire Yang dibenarkan menduduki dan memiliki sebuah rumah bernilai £850,000 (RM4.14 juta) yang dibelikan oleh Robin Gibb kepadanya di Amersham, Buckinghamshire tetapi tiada apa yang diwariskan kepada Snow.Wasiat 15 mukasurat itu dibuat sembilan bulan sebelum kematian Robin dengan disaksikan oleh pembantu peribadi dan pemandunya.Namun begitu pada perenggan terakhir wasiatnya itu Robin ada menyatakan yang dia di dalam proses untuk menyediakan peruntukkan kewangan yang berpatutan kepada Snow.Dia juga mengarahkan para pemegang amanahnya supaya menyediakan sejumlah peruntukkan yang mencukupi kepada anak luar nikahnya itu seandainya dia tidak sempat berbuat demikian sebelum kematiannya.Berita mengenai perhubungan Robin dengan Yang hanya muncul sekitar awal 2009 – lebih kurang tiga bulan selepas kelahiran Snow di sebuah hospital swasta di Barat London.Harta peninggalan Robin keseluruhannya dianggarkan bernilai £93 juta (RM453 juta) tidak termasuk aset yang dibeli di luar negara dan yang dibeli atas nama bersama dengan Dwina.Mana-mana wang yang disimpan di atas akaun bersama diserahkan terus kepada Dwina tanpa dimasukkan ke dalam surat wasiatnya.