suria

Tiz Zaqyah Dedahkan Kekasih Ke Dunia Hiburan

Tiz Zaqyah
Tiz Zaqyah
Tiz Zaqyah

KUALA LUMPUR: Pelakon Tiz Zaqyah mahu kekasihnya, Daniel Haziq, faham selok-belok dunia hiburan agar tidak timbul rasa curiga dengan membawanya ke majlis-majlis tertentu.

Tiz, 25, berkata, dia mahu kekasihnya itu dapat melihat bagaimana kehidupan golongan artis selain bersedia untuk berhadapan dengan teman-teman media dan juga peminat.

"Ya, saya ada bawa dia ke beberapa majlis hiburan salah satunya adalah kerana untuk beri pendedahan bagaimana situasi saya bekerja.

"Tapi dia agak pemalu sedikit dan tidak mahu di temu ramah atau diambil gambar bersama," ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran drama Jodoh Itu Milik Kita, di sini, Selasa.

Dalam pada itu, jelas Tiz, mereka masih belum merancang untuk melangkah ke fasa seterusnya dalam hubungan tersebut.

"Kami belum fikir lagi untuk bertunang atau berkahwin, buat masa sekarang kami masih lagi berkawan dan mengenali hati budi masing-masing.

"Tetapi setiap perhubungan sudah tentu ada perancangan ke arah itu. Begitu juga kami namun ia bukanlah dalam masa terdekat ini," katanya.

Bercerita tentang kekasihnya, Tiz berkata Danial Haziq, 25, seorang yang sangat memahami dan tidak mudah cemburu.

"Dia seorang yang sentiasa dalam keadaan tenang, saya tidak pernah nampak dia berasa tertekan," katanya.

Sementara itu, bercerita tentang watak Dahlia dalam drama Jodoh Itu Milik Kita, Tiz yang bergandingan dengan pelakon Farid Kamil mengakui agak janggal berlakon degan aktor tersebut.

"Pada mulanya memang rasa takut dan janggal kerana ini kali pertama kami berlakon sebagai pasangan suami-isteri.

"Saya merasakan Farid Kamil merupakan satu nama besar dalam industri dan membuatkan saya jadi malu untuk berlakon babak romantik dan manja dengannya," katanya.

Drama adaptasi novel itu mengisahkan pasangan suami isteri iaitu Aariz (Farid Kamil) dan Dahlia (Tiz Zaqyah) terpaksa berkahwin secara paksa oleh keluarga.

Pelbagai konflik timbul dalam kehidupan mereka selepas menjalani kehidupan sebagai suami isteri.

Drama ini turut dibintangi oleh Nabila Huda, Syazwan Zulkifly, Ziela Jalil dan Keith Foo.

Jodoh Itu Milik Kita akan ditayangkan pada setiap Isnin hingga Rabu pukul 10 malam bermula 19 Ogos depan di saluran 134, Mustika HD.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain