Jehan terpaksa menyambut Ramadan sendirian kerana kesibukan isterinya. PETALING JAYA: Pelakon dan pengarah drama, Jehan Miskin mengakui banyak menghabiskan masa bersendirian sepanjang bulan Ramadan ini kerana isterinya sering berulang-alik ke luar negara atas urusan kerja.Jehan, 34, berkata, walaupun sedih tidak dapat menyambut Ramadan bersama isteri tercinta dia bagaimanapun memahami kerjaya isterinya yang memerlukan sentiasa ke luar negara. "Kehidupan saya sebenarnya seperti orang bujang kerana isteri kini berada di Jepun dan saya terpaksa melakukan segala kelengkapan harian sendiri."Bagaimanapun saya tidak kekok kerana sebelum berkahwin juga saya sudah terbiasa melakukan semua kerja sendiri," jelasnya kepada mStar Online.Jehan dan Julie Camelia Rhee, 29, seorang wanita Korea berkahwin pada 4 Mei lalu di Carcosa Seri Negara, dekat sini.Dalam pada itu, Jehan berkata, pada Hari Raya Aidilfitri kali ini juga mereka hanya akan bersama selama dua hari kerana isterinya akan berangkat ke Australia pada Hari Raya ketiga.Jelas Jehan, dia akan menggunakan masa tersebut sebaik-baiknya bersama Julie selain membawa isterinya itu berhari raya bersama sanak saudara dan rakan-rakan."Walaupun kami sering berjauhan tetapi kami tahu tanggungjawab masing-masing dan menggunakan masa terhad itu sebaik-baiknya," kata Jehan.Dalam perkembangan lain, drama bersiri pertama arahan Jehan, What If, kini sedang rancak ditayangkan pada setiap Rabu, pukul 9.30 malam di saluran 8TV.