Nurul gemar menulis pada waktu malam kerana lebih tenang. PETALING JAYA: Penyanyi Nurul Wahab menyifatkan keterbukaannya berkongsi kisah peribadi dengan pembaca di laman blog miliknya adalah kerana enggan bersikap hipokrit dengan para peminat.Nurul atau nama sebenarnya Nurul Huda Abdul Wahab, 36, berkata, kisah-kisah yang dikongsi bersama pembaca adalah luahan dan kisah sebenar yang berlaku dalam hidupnya. "Kehidupan itu adalah realiti dan saya tidak perlu malu untuk berkongsi tentangnya dengan pembaca. Bagaimanapun sebagai seorang wanita, isteri dan ibu, sudah tentu saya meletakkan batasan dan bukan semua benda yang saya kongsi dengan pembaca," jelasnya kepada mStar Online.Nurul memberitahu semenjak mula menulis menerusi blog nurulwahabdepp.wordpress.com dia mengakui semakin sukakan aktiviti tersebut yang dianggap sebagai terapi.Jelas Nurul, dia akan mengambil peluang untuk menulis pada waktu malam kerana lebih tenang dan akan mengemas kini blognya setiap tiga kali seminggu. "Dalam keadaan saya sedang mengandung sekarang, menulis membuatkan saya tenang dan dapat juga saya berkongsi pengalaman kehamilan ini dengan pembaca," katanya.Dalam perkembangan sama, Nurul berkata, dia bersyukur apabila kebanyakan pembaca dan peminat menyukai isi kandungan blognya dan sentiasa memberi komen membina.Jelas Nurul lagi, dia berasa lebih dekat dengan para pengikut blog tersebut kerana selain berkongsi kisah harian mereka juga turut bertukar-tukar pendapat tentang pelbagai perkara."Dalam satu perkara buruk yang orang nampak sebenarnya banyak perkara baik tentang blog tersebut dan saya bersyukur ramai yang memberi sokongan," ujarnya.