suria

1,000 Peserta Hadiri Uji Bakat Hos '3R'

Sebahagian daripada peserta yang akan bertanding sesama sendiri untuk menjadi hos 3R
Sebahagian daripada peserta yang akan bertanding sesama sendiri untuk menjadi hos 3R
Sebahagian daripada peserta yang akan bertanding sesama sendiri untuk menjadi hos 3R

PETALING JAYA: Kira-kira 1,000 peserta telah menghadiri uji bakat untuk bagi mencari tiga hos terbaharu program popular 3R (Respek, Relaks, Respons) untuk musim terbaharu yang diadakan di beberapa lokasi di seluruh Malaysia.

Penerbit Eksekutif Bersama, Red Comunication Sdn Bhd, Lina Tan, berkata, pihaknya terkejut dengan uji bakat yang dikenali sebagai Projek 3R itu dan kesemua peserta telah diadili secara perseorangan oleh juri profesional.

"Sambutan yang amat memberangsangkan itu adalah bukti program berkenaan masih mempunyai pengikut yang ramai dan ia masih relevan.

"Kesemua peserta telah melalui beberapa proses saringan dan kami telah menemui 12 calon akhir yang akan berentap bagi mendapat tempat sebagai pengacara terbaharu 3R," katanya yang ditemui pada majlis sidang media memperkenalkan peserta akhir program Projek 3R di Sri Pentas di sini, Isnin.

Program tujuh episod tersebut bakal bersiaran pada 24 Ogos ini, setiap hari Sabtu pukul 6 petang di TV3.

Para peserta yang akan bersaing adalah Jasmine Suraya Chin Xian Mei, 23, Nur Hidayah Abu Bakar, 24, Puteri Zulaiqha Mohd Arif, 23, Siti Amirah Mohamad Azmi, 22, Nora Shikeen Abdul Rahim, 21 dan Zetty Nabila Muhammad Ghazali, 22,

Turut menyertainya Lee Yvonne, 24, Fiona Cheong, 22, Tamilarasi, 21, Sara Nadzirah Zulkifli, 22, Sarah Lois, 21 dan Haziqah Azemi, 21.

Dalam perkembangan sama, Lina berkata, pemilihan kesemua peserta tersebut bukan untuk mencari pengganti hos terdahulu sebaliknya sebagai pelapis kepada program berkenaan.

Jelasnya, setiap peserta mempunyai personaliti dan kelebihan masing-masing yang akan memberi kelainan dalam program itu nanti.

"Kita bukan nak mencari pengganti hos lama tetapi calon yang boleh membawa program berkenaan ke tahap berbeza selain menonjolkan kelainan.

"Kami juga ingin mencari wanita muda yang mempunyai pendirian, idea dan sentiasa peka dengan isu-isu sosial. Bukan sekadar rupa paras semata-mata," katanya.

Tambah Lina, sebagai generasi muda yang bertanggungjawab dalam pembangunan kemasyarakatan, hos baharu perlu berani menyahut cabaran dan sentiasa memperbaiki kelemahan diri.

Program tersebut sebelum ini pernah dikendalikan oleh Azah Yasmin Yusof, Rafidah Abdullah, Low Ngai Yuen, Kartini Ariffin dan Celina Khor.

Sementara itu, Lina berkata, menerusi program Projek 3R, kesemua calon akan diberi beberapa siri latihan dan bengkel oleh pihak produksi untuk mengasah kemahiran dan menambah ilmu tentang kualiti diperlukan sebelum bergelar hos.

"Selain kemahiran komunikasi mereka juga perlu bersedia dari segi fizikal dan mental untuk menyahut cabaran diberikan," jelasnya.

Kesemua bekas pengacara program itu akan bertindak sebagai mentor mereka dalam rancangan tersebut.

Artikel Lain

Pelakon Lan Zailan meninggal dunia