suria

Black Hanifah Pilih 13 September Tarikh Nikah

Black Hanifah
Black Hanifah
Black Hanifah

KUALA LUMPUR: Penyanyi Black Hanifah bakal melangsungkan pernikahan dengan Naquia Yasirah, 28, pada 13 September depan di Zebra Square, Kampung Pandan di sini.

Black atau Hanifah Md Hanafiah, 26, berkata pemilihan tarikh pernikahan tersebut adalah bagi mengambil keberkatan hari Jumaat.

"Tiada apa-apa makna dengan 13 September tersebut cuma saya memilih hari Jumaat supaya ia lebih afdal.

"Insya-Allah majlis tersebut akan berlangsung sebelum solat Zuhur," ujarnya pada sidang media pengumuman tarikh perkahwinan itu di sini pada Selasa.

Turut hadir ibu dan bapa penyanyi itu, Musalmah Othman, 59, dan Md Hanafiah Che Din, 60.

Sementara itu, majlis resepsi persandingan kedua-dua mempelai pula akan diadakan selama dua hari berturut-turut iaitu sehari selepas nikah (14 September) untuk keluarga dan rakan-rakan artis di lokasi yang sama manakala pada 15 September pula di Padang Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Kerinchi untuk peminat.

Pasangan ini mengikat tali pertunangan pada 26 Januari lalu.

Dalam pada itu, mengulas tentang bakal isterinya, Black berkata, wanita tersebut menerima dirinya sebagai seorang artis.

"Dia seorang yang sederhana dan bekerja dengan keluarga. Dia menerima diri saya sebagai seorang artis.

"Walaupun perkenalan kami singkat namun dia memahami dan tidak kisah tentang status saya ini," jelasnya.

Sementara itu, ditanya tentang debaran bakal bergelar suami, Black berkata dia sudah bersedia memikul tanggungjawab tersebut.

"Saya sudah membaca buku tentang perkahwinan dan tanggungjawab yang bakal saya pikul sebagai suami," katanya.

Dalam majlis tersebut juga, Black turut mengumumkan penjenamaan semua namanya daripada Black kepada Black Hanifah.

Artikel Lain

Pelakon Lan Zailan meninggal dunia