suria

Que Haidar Sering Diundang Menyanyi Sejak Filem 'Rock Oo'

Que Haidar
Que Haidar
Que Haidar

PETALING JAYA: Pelakon Que Haidar mengakui sejak lakonan nyanyiannya dalam filem Rock Oo: Rimba Bara Kembali berjaya mencuit perhatian ramai pada tayangannya Februari lalu, dia sering menerima undangan persembahan nyanyian bagi majlis-majlis korporat.

Que atau nama sebenarnya Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar, 33, berkata, walaupun pelik dengan keadaan itu kerana merasakan diri bukanlah seorang penyanyi, dia tetap menerima undangan tersebut dengan hati terbuka menghiburkan tetamu-tetamu yang hadir.

"Memang saya rasa sangat pelik apabila diundang menyanyi di acara-acara korporat. Tetapi saya tetap menerima dan membuat persembahan seperti yang diinginkan pihak penganjur.

"Cuma saya hanya menyanyi lagu-lagu yang ada dalam filem Rock Oo sahaja. Malah ada juga beberapa lagu P. Ramlee yang saya bawakan dengan komposisi muzik rock.

"Alhamdulillah, sehingga kini masih ada undangan nyanyian yang saya terima," katanya.

Bagaimanapun tambah Que, dia tidak akan menjadikan aktiviti nyanyiannya itu sebagai kerjaya tetap kerana menyifatkan bakatnya masih lagi tidak hebat seperti penyanyi-penyanyi yang tersedia ada.

"Saya sudah ada kerja lakonan sendiri dan kalau boleh tidak mahu mengganggu periuk nasi orang lain. Malah saya sedar diri suara ini tidaklah sesedap mana.

"Kalau nak tahu ramai yang berbakat dalam nyanyian tidak diberi peluang ke hadapan dan biarlah mereka yang berusaha keras ini mewarnai dunia muzik tempatan kita.

"Apa yang saya buat sekarang ini (nyanyian) pun sekadar suka-suka dan tidak mengambilnya secara serius pun," ujarnya.

Sementara itu, Que kini sedang melalui proses perbincangan bersama pengarah filem Rock Oo mengenai pembikinan sekuel filem tersebut yang ketiga.

Artikel Berikut

Artikel Lain