suria

Sidang Media Pertunangan Fizo Omar Dalam Waktu Terdekat

Fizo memberitahu mahu bercinta selepas berkahwin nanti.
Fizo memberitahu mahu bercinta selepas berkahwin nanti.
Fizo memberitahu mahu bercinta selepas berkahwin nanti.

PETALING JAYA: Pelakon dan usahawan burger, Fizo Omar bakal mengadakan satu sidang media khas bagi mengumumkan tarikh pertunangannya dengan Mawar Abdul Karim dalam masa terdekat.

Fizo, 28, berkata, setakat ini dia masih belum mempunyai tarikh tertentu untuk melangsungkan majlis pertunangannya dengan wanita berkenaan tetapi mengjangkakan pada awal November depan.

"Insya-Allah dalam masa terdekat ini kami akan adakan satu sidang media bagi mengumumkan perkara itu dan kami menjangkakan pertunangan itu akan berlangsung pada awal November ini," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Rabu.

Keluarga Fizo pada 28 Ogos lalu telah menghantar rombongan merisik Mawar, 24, yang juga anak kepada pengasas tudung Fareeda iaitu Faridah Zakaria.

Dalam perkembangan sama, Fizo mengakui dia dan Mawar jarang berjumpa kerana sibuk dengan kerjaya masing-masing namun sering berhubung untuk bertanya khabar.

Malah kata Fizo, persiapan pertunangan mereka hanya dibuat menerusi telefon dan mereka hanya akan berjumpa jika ada kelapangan.

"Walaupun kami jarang berjumpa tetapi kami sering berhubung antara satu sama lain dan urusan mengenai majlis pertunangan tetap berjalan walaupun kami tidak bertemu," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Fizo berkata, dia kini berada di Kelantan bagi mengembangkan perniagaan Hot Burger miliknya dan memberitahu bakal membuka 25 buah gerai di negeri itu menjelang Oktober ini.

Malah kata Fizo, dia turut bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bagi membantu ibu tunggal di negeri kelahirannya itu agar berjinak-jinak dalam bidang perniagaan.

"Memang Hot Burger ini saya perkenalkan untuk membantu golongan belia tetapi projek di Kelantan ini istimewa sedikit di mana saya dan KPWKM bekerjasama untuk membantu ibu tunggal memulakan perniagaan burger," jelasnya.

Tambah Fizo, dia juga teruja dengan sambutan di Kelantan apabila menerima 1,000 penyertaan untuk program berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Fizo berkata, selain mengacarakan program Nasi Lemak Kopi O di TV9, dia bakal muncul dengan filem Cinderella arahan Ahmad Idham pada penghujung tahun ini.

Kata Fizo, walaupun sibuk menguruskan perniagaan burger dia tetap akan meluangkan masa untuk memenuhi tawaran berlakon kerana ia adalah minat pertamanya.

"Sesibuk mana pun saya tetap akan cari masa untuk berlakon dan walaupun penat tetapi pengorbanan perlu dilakukan namun banyak juga tawaran terpaksa ditolak kerana kekangan masa," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain