Amir dan isterinya akan berbulan madu di Kundasang, Sabah. PETALING JAYA: Penyanyi Amir Jahari tidak berniat untuk merahsiakan tarikh sebenar perkahwinannya dengan Kartini Ismail yang berlangsung di Kuching, Sarawak pada pagi Sabtu lalu.Amir atau nama sebenarnya Mohamad Amirullah Jahari, 21, berkata, dia tidak menghebahkan mengenai perkara baik itu kerana majlis berkenaan hanya dibuat secara kecil-kecilan dan dihadiri oleh keluarga terdekat kedua-dua belah pihak sahaja. "Saya mengakui tidak menghebahkan tarikh saya akan berkahwin tetapi tidak pula mempunyai niat untuk menyorokkan perkara baik itu daripada sesiapa."Majlis yang berlangsung itu hanya dibuat secara sederhana sahaja untuk keluarga kedua-dua belah pihak," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Sabtu.Amir dan Kartini, 27, sah bergelar suami isteri dengan sekali lafaz tepat pukul 9 pagi pada majlis yang diadakan di Penview Hotel, Kuching.Pada majlis itu, Amir telah memberikan mas kahwin berupa seutas rantai dan sebentuk cincin emas manakala RM10 ribu sebagai wang hantaran kepada pihak perempuan.Bagaimanapun tiada barang hantaran diberikan oleh kedua-dua belah pihak.Dalam pada itu, Amir berkata majlis resepsi telah diadakan ditempat sama selepas selesai majlis akad nikah untuk kedua-dua belah pihak dan antara tetamu yang hadir termasuklah Aizat dan Amar Andan.Tampil dengan busana dan solekan tajaan Famee Abdullah Radzi, pasangan pengantin tampak berseri dengan persalinan dari rona hijau untuk majlis berkenaan."Alhamdulillah majlis selesai dengan baik dan saya adalah lelaki yang berbeza mulai saat ini. Sukar saya gambarkan perasaan selepas sah menjadi seorang suami tetapi ia sesuatu yang indah," katanya.Tambah Amir, dia tidak melihat perbezaan umur di antara mereka sebagai masalah kerana apa yang lebih penting mereka saling memahami dan mempercayai antara satu sama lain.Sementara itu, Amir berkata, selepas ini dia dan isterinya akan menetap di Kuala Lumpur dan dia akan meneruskan kerjaya seninya seperti biasa.Tidak gentar karier nyanyiannya akan merundum selepas berkahwin, Amir berkata, dia percaya dengan rezeki dan yakin ikatan suci yang dilakukannya ini akan memberi berkat kepadanya."Cabaran itu sentiasa ada sama ada berkahwin atau pun tidak namun sebagai manusia kita perlu berusaha memajukan diri dan berserah selebihnya kepada Allah," katanya.Dalam perkembangan sama, Amir berkata, dia dan isterinya akan berbulan madu di Kundasang, Sabah pada minggu hadapan sebelum kembali ke Kuala Lumpur.