PETALING JAYA: Pelakon Fasha Sandha mengakui sejak mendirikan rumah tangga dan memiliki anak bernama Putra Rayqal Ramli Rizal Ashram, 6 bulan, dia sudah tidak kisah dengan populariti sebagai selebriti seperti zaman solonya sebelum ini.Fasha atau nama sebenarnya Nur Fasha Sandha Hassan, 29, berkata, keadaan itu langsung tidak merisaukan dirinya kerana dia kini meletakkan keluarga sebagai keutamaan. "Sekarang ini saya sudah berada di fasa lain dimana kerjaya jatuh pada nombor dua dan tidak kisah pun sekiranya publisiti dan populari yang diraih tidak seperti dulu."Sebab itu kalau ada media meminta saya untuk mengadakan sesi fotografi, saya akan pilih mengikut kesesuaian. Bagaimanapun Alhamdulillah, pihak produksi masih lagi sudi menawarkan saya berlakon sehingga sekarang," katanya kepada mStar Online.Tambah Fasha, dia yakin, kepercayaan pihak produksi terhadap dirinya bagi menjayakan sesebuah drama atau filem adalah kerana disiplin kerja yang diterapkan sejak dulu lagi.Malah kata pelakon drama Cinta Mat Semperit itu, kebanyakan pelakon kini gagal menjaga disiplin masa sehingga ia menjejaskan kepercayaan pihak produksi terhadap seseorang pelakon itu."Kena ingat, macam mana popular atau panas dengan kontroversi sekalipun seseorang artis itu, tanpa disiplin mereka tidak akan kemana. Memang sekarang ini ramai pelakon tetapi nak cari yang berdisiplin tak ramai," ujarnya.Sementara itu, Fasha berkata, dia juga gembira apabila suaminya sering memberi sokongan dalam apa juga kerja yang dilakukan dan sebagai isteri, dia memastikan menjaga batas-batas lakonannya agar tidak membuatkan suaminya terasa."Walaupun suami tidak memberi sebarang syarat-syarat untuk saya berlakon, tetapi sebagai isteri dan ibu, saya perlulah jaga batas-batas yang sepatutnya."Malah saya tak perlu menjelaskan perkara-perkara yang saya enggan lakukan kepada pengarah kerana mereka juga pasti faham dengan status saya sekarang ini. Yang penting kualiti kerja yang dibawakan dalam lakonan," tegasnya.