Diana Amir (kanan) dan Habibbullah. Foto UTUSANPUTRAJAYA: Pelakon Diana Amir sah bergelar isteri kepada Mohd Habibbullah A Rahman, seorang petugas di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Merbok, Kedah dengan sekali lafaz. Majlis pernikahan telah berlangsung di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini kira-kira pukul 9.30 malam, Jumaat. Akad nikah telah disempurnakan oleh Imam Besar masjid berkenaan iaitu Hazaruddin Baharuddin. Pengantin perempuan diwalikan oleh bapanya sendiri, iaitu Amir Hashim Mohd Kassim. Pada majlis itu Diana atau nama sebenarnya Nurdiyana Amir Hashim, 27, turut menerima mas kahwin sebanyak RM1,000, senaskhah Al-Quran dan cincin. Kedua-dua belah pihak tidak menyediakan sebarang hantaran pada majlis tersebut. Pasangan tersebut sebelum ini telah mengikat tali pertunangan pada September tahun lalu dalam satu majlis tertutup di rumah keluarga pelakon berkenaan. Majlis pernikahan kedua-dua mempelai dihadiri kira-kira 300 orang jemputan yang terdiri daripada kaum keluarga rapat pengantin, rakan artis dan wakil media. Turut kelihatan adalah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Metrowealth International Group (MIG), David Teo dan beberapa rakan artis seperti Irma Hasmie, Heliza, Adam Corrie, Anita Baharom dan Yatt Hamzah. Satu majlis doa selamat, khatam Al-Quran dan berinai telah berlangsung secara tertutup di Wisma Metrowealth pada Khamis lalu yang dihadiri ahli keluarga terdekat dan sahabat andai. Dalam pada itu, Diana yang anggun dengan busana rekaan pereka fesyen Ezuwan Ismail berkata, dia bersyukur dan lega kerana majlis berkenaan berjalan lancar seperti dirancang. "Alhamdulillah majlis berlangsung seperti dirancang dalam suasana cukup sederhana dan seperti pasangan lain kami berharap perkahwinan ini akan dilimpahi berkat dan akan berkekalan sehingga ke akhir hayat," katanya. Diana dan suaminya belum menetapkan lokasi bulan madu mereka ekoran kesibukan jadual kerja masing-masing.