suria

Artis Muda Sombong - DJ Dave

Datuk DJ Dave.
Datuk DJ Dave.
Datuk DJ Dave.

KUALA LUMPUR: Penyanyi Datuk DJ Dave meluahkan rasa kesal terhadap golongan artis muda yang kurang berminat melibatkan diri dalam sebarang aktiviti Yayasan Artis 1Malaysia (YA1M).

DJ Dave yang merupakan pengerusi YA1M berkata, sepatutnya artis-artis muda perlu peka mengenai sesebuah pertubuhan yang melibatkan industri kerana ia sedikit sebanyak akan membantu mereka apabila susah nanti.

"Saya menasihatkan kepada golongan artis muda supaya jangan sombong.

"Setiap kali pihak kami menjemput mereka ke majlis YA1M ada saja alasan yang diberi. Mereka perlu ingat satu hari nanti mereka akan memerlukan bantuan ketika susah," katanya.

DJ Dave ditemui pada Konsert Amal YA1M 2013 'Satu Suara Satu Malaysia' yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada malam Ahad.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek turut hadir pada konsert tersebut.

Tambah DJ Dave atau nama sebenarnya Irwan Shah Abdullah, dia berharap keluhan ini dapat membuka mata artis-artis muda supaya lebih prihatin pada masa akan datang.

Sementara itu, pada konsert YA1M, enam orang seniman tempatan iaitu Datuk Rahim Razali, Hamid Gurkha, Kumpulan Orkes Nirwana, Ooi Yew Jin, Accapan dan Yap Chin Fong menerima penghargaan dan sumbangan daripada pihak YA1M.

Menurut DJ Dave, dia turut bersyukur apabila yayasan yang diusahakannya itu berjaya mengumpul sebanyak RM180,000 hasil daripada pembelian tiket konsert YA1M.

"Bukan setakat itu saja, pihak kementerian Komunikasi dan Multimedia turut menyumbangkan sebanyak RM50,000.

"Dan secara keseluruhannya kami berjaya mengumpul RM230,000 dan ia memudahkan lagi bagi kami membanti artis-artis yang memerlukan," ujarnya.

Konsert tersebut diadakan untuk mengumpul dana bagi membantu artis memerlukan dan memastikan golongan artis veteran terus menerima bantuan.

Selain itu, seramai 10 orang artis popular yang antaranya ialah Datuk M. Nasir, Datuk David Arumugam, Fredo (Flybaits), Fauziah Latif, Marsha, Hafiz, Jimmy Palikat, Soo Wincci, Lockup dan Najwa Latif.

Turut hadir pada majlis berkenaan adalah barisan ahli jawatankuasa YA1M yang terdiri daripada Datuk M Nasir, Datuk A.Rahman Hassan dan Nancie Foo.

Artikel Lain