Freddie menyasarkan untuk mengutip dana Karyawan sebanyak RM200,000 pada Malam Gala Warisan Seni yang akan diadakan pada 24 November ini di Hotel Istana Kuala LUmpur. KUALA LUMPUR: Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) bakal menampilkan 25 artis daripada zaman kegemilangan Allahyarham Tan Sri P.Ramlee sehingga era 90-an pada acara Malam Gala Warisan Seni yang bakal diadakan pada 24 November ini di Hotel Istana di sini.Pengerusinya, Datuk Freddie Fernandez berkata, artis-artis tersebut ditampilkan sebagai mengenang jasa mereka yang banyak menyumbang kepada pembangunan seni muzik tanah air selain simbolik kepada kesinambungan seni budaya tempatan. "Barisan artis yang kita tampilkan pada malam itu nanti adalah daripada nama-nama hebat yang pernah menggegarkan seni muzik tanah air mengikut era masing-masing dan ini adalah kelainan yang cuba kita tonjolkan pada malam itu nanti," katanya kepada pemberita pada sidang media Malam Gala Warisan Seni yang diadakan di Hotel Istana di sini, Rabu.Acara yang diadakan bertujuan untuk mengumpul dana bagi membantu para penggiat seni veteran yang dalam keadaan uzur dan kurang upaya.Ia bakal berlangsung pada 8.30 malam.Antara nama-nama besar yang bakal terlibat dalam acara itu seperti Datuk Andre Goh, Datin Paduka Julie Sudiro, Datuk Yusni Hamid, Datuk M. Daud Kilau, Aspalela Abdullah, S.Atan, Mariam Ahmad, A. Halim, Ibnor Riza, Salwa Abdul Rahman, Shamsudin Lamin, Fredo, Rozita Rohaizad, Salih Yaacob, Jay Jay dan Azizul Khamis.Manakala Saiful Apek, Musly Ramly, Haida, Fauziah Idris dan Sarangabanie mewakili artis daripada zaman 90-an.Jelas Freddie lagi, idea untuk mengadakan acara itu hasil daripada idea mantan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan iaitu Tan Sri Dr Rais Yatim.Tambah Freddie, Rais dan isterinya, Puan Sri Maznah Rais akan hadir pada majlis itu nanti.Dalam perkembangan berkaitan, Freddie berkata, persembahan yang dipelopori oleh artis veteran itu bukan bererti pihaknya mengetepikan penyanyi masa kini sebaliknya ingin mengimbau kenangan bersama mereka yang terlebih dahulu bertapak dalam industri hiburan.Jelas Freddie, pihaknya turut mengalu-alukan penyertaan daripada artis-artis terbaharu sekiranya ingin membuat persembahan pada malam tersebut."Kita boleh tampilkan artis-artis terbaharu jika kita mahu dan mereka pasti akan memberikan kerjasama tetapi tujuan kita menampilkan artis lama adalah kerana ingin meraikan dan mengenang jasa mereka terhadap industri hiburan."Tambahan pula banyak nama yang telah lama tidak muncul di tempat-tempat awam untuk mengadakan persembahan dan pada Malam Gala Warisan Seni itu mereka akan memberikan persembahan istimewa," katanya.Persembahan pada malam itu akan diterajui oleh komposer terkenal S. Atan dan setiap artis akan mendendangkan sebuah lagu.Sementara itu, Freddie berkata, setakat ini pihaknya telah berjaya menjual 20 daripada 50 buah meja yang disediakan dan menyasarkan kutipan sebanyak RM200,000 bagi tujuan itu.Jelas Freddie, pada malam itu nanti Karyawan akan menyumbangkan RM1,000 kepada 20 artis veteran terpilih sebagai mengenang jasa mereka.Meja dijual pada harga RM5,000 hingga RM50,000 dan sebarang tempahan dan maklumat lanjut boleh menghubungi Ahmad Abdullah di talian 03-2092 5517 / 011-3901 1591.