suria

Anak Deejay Lin Lulus Cemerlang Dalam UPSR

Deejay Lin
Deejay Lin
Deejay Lin

PETALING JAYA: Anak sulung penyampai radio Suria FM, Deejay Lin iaitu Nureen Areesye Ali, 12, mendapat keputusan cemerlang 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan pada Khamis.

Nureen merupakan pelajar Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Sentul, dekat sini.

Lin atau nama sebenarnya Roslinda Abdul Majid, 37, berkata, dia berasa gembira dengan kejayaan Nureen dan menyifatkan kejayaan itu adalah atas kerja keras anaknya yang sentiasa mengulang kaji pelajaran.

Lima subjek yang diambil Nureen termasuklah Bahasa Malaysia satu dan dua, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.

"Alhamdulillah, anak saya mendapat keputusan cemerlang kerana usaha yang dilakukan. Kalau nak diikutkan saya tidak mempunyai banyak masa untuk bersamanya memandangkan saya berada di studio pada waktu malam.

"Untuk menemani dia belajar memang sangat susah. Dia juga tidak mengambil sebarang kelas tambahan. Saya hanya mampu mengingatkan dia setiap masa untuk belajar. Selebihnya, ia atas usahanya sendiri," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini pada Khamis.

Ketua Pengarah Pendidikan Tan Sri Abd Ghafar Mahmud pada Khamis berkata, keputusan UPSR 2013 yang diumumkan di seluruh negara merupakan keputusan terbaik dalam tempoh empat tahun.

Seramai 42,646 calon UPSR tahun ini berjaya memperoleh semua A dalam semua mata pelajaran iaitu peningkatan sebanyak 0.21 peratus berbanding tahun lalu

Selain itu Nureen yang juga pelajar di Sekolah Agama Ibnu Al-Qayyim, Sentul dekat sini pada sesi petang turut menunjukkan pencapaian luar biasa apabila mendapat 7A, Ujian Penilaian Sekolah Rendah Agama (UPSRA).

Ia membabitkan subjek Sirah, Tajwid, Fikah, Bahasa Arab, Tauhid, Akhlak dan Al-Quran.

Lin yang juga ibu tunggal berkata, memandangkan Nureen mendapat keputusan yang cemerlang dalam kesemua peperiksaan, dia berhasrat untuk menghantar anaknya itu ke sekolah menengah berasrama penuh iaitu Sekolah Tun Fatimah di Johor Bahru.

Dalam pada itu, Lin juga membawa Nureen bercuti ke Korea Selatan bersama-sama seorang lagi anaknya iaitu Nazreen Asyran, 10, pada hujung tahun ini.

"Kalau nak tahu, anak saya antara peminat fanatik K-Pop di mana dia boleh menulis dan fasih berbahasa Korea. Tambah pula, semua perkembangan dunia hiburan Korea dia tahu. Jadi, pemberian hadiah ke Korea pasti bermakna buat Nureen," ujarnya.

Sementara itu, Lin meluahkan hasratnya ingin melihat Nureen bergelar doktor yang dapat membantu masyarakat suatu hari nanti.

Bagaimanapun dia belum berbincang mengenai perkara itu apabila melihat Nureen lebih berminat ke arah muzik.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan