suria

Ezad Lazim Tegur Syarikat Rakaman Abaikan Artis Sendiri

Ezad Lazim
Ezad Lazim
Ezad Lazim

PETALING JAYA: Penyanyi Ezad Lazim mengakui terasa hati dan kecewa dengan syarikat rakaman Music Valley Malaysia (MVM) yang lebih mengutamakan artis negara jiran berbanding artis di bawah naungannya sendiri.

Ezad atau nama sebenarnya Mohd Rohaizad Mohd Lazim, 34, berkata, syarikat rakaman tersebut tidak memberi kepentingan terhadap promosi lagu-lagu terbaharunya serta tidak menunaikan janji mempromosi lagunya ke negara Indonesia.

"Saya kesal kerana mereka lebih mementingkan artis luar untuk bawa masuk dan mempromosikannya di negara ini tetapi sebaliknya artis seperti saya yang berada di bawah naungannya sendiri dibiarkan begitu sahaja.

"Sebaik mana pun karya yang kami lakukan sudah tidak dipandang lagi, kami tahu kami tidak mendatangkan duit kepada mereka. Mereka janji mahu bawa saya promosi ke Indonesia sejak saya bertunang dahulu sehingga ke hari ini hanya tinggal janji sahaja," ujarnya ketika dihubungi mStar Online, di sini, pada Khamis.

Ezad berkata demikian ketika diminta mengulas tentang status Facebook miliknya yang dimuat naik pada Khamis sambil meluahkan rasa tidak puas hati terhadap syarikat rakaman yang dinaunginya, Music Valley Malaysia yang membawa masuk pelbagai artis dari Indonesia ke negara ini untuk tujuan promosi.

Tambah Ezad, dia mengakui disebabkan kekurangan promosi yang dilakukan oleh syarikat tersebut, dia juga gagal mendapat tawaran bagi mengadakan persembahan.

"Ini adalah mata pencarian dan kerja kami, kalau tiada sebarang promosi di media atau di mana-mana, orang ramai pun tidak tahu tentang lagu-lagu baru kami.

"Nasib baik juga saya ada perniagaan sendiri yang mana sedikit sebanyak dapat membantu keluarga," katanya.

Jelas Ezad, disebabkan hal berkenaan dia semakin tawar hati dan kurang bersemangat untuk aktif dalam industri seni suara tanah air.

Dakwaan Ezad Tidak Berasas - Daxter

Sementara itu, Pengarah Urusan Music Valey, Dexter Koh, yang dihubungi berkata, dakwaan mengabaikan tanggungjawab mempromosikan artis di bawah naungannya adalah tidak berasas.

Tambah Dexter, Ezad sendiri mempunyai masalah dalam memberi kerjasama untuk hadir dalam rangka promosi yang telah diaturkan pihaknya.

"Kami sudah buat lebih lima promosi untuk lagu baharu dia tapi masalah itu sebenarnya datang daripada dia sendiri yang beri banyak alasan untuk tidak hadir.

"Dia tidak beri kerjasama malah tidak datang promosi dengan radio yang diaturkan," ujarnya.

Daxter juga akan memanggil penyanyi itu bagi menyelesaikan perkara tersebut dengan cara baik.

"Jika ada masalah datang berjumpa kami bukan dengan cara melakukan sesuatu dengan merumitkan lagi keadaan," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain