Aqasha masih belum bersedia untuk mengarah filem. PETALING JAYA: Pelakon Aqasha menjelaskan dia masih belum bersedia untuk bergelar seorang pengarah drama walaupun memiliki syarikat produksi yang diusahakan bersama Sein, anggota kumpulan Ruffedge.Aqasha atau nama sebenarnya, Firdee Akassya Rosli, 31, berkata, dia masih belum yakin untuk duduk di kerusi pengarah kerana pengalaman dalam bidang tersebut masih kurang. "Saya memang ingin bergelar pengarah tetapi masih belum tiba masanya kerana pengalaman masih belum cukup."Bagaimanapun saya sedang berusaha ke arah tersebut," katanya kepada mStar Online.Tambah Aqasha, faktor dia masih belum puas berlakon turut menyumbang kepada keputusannya itu.Jelas Aqasha, masih banyak perkara yang belum dikecapnya sebagai pelakon."Ada beberapa peranan yang saya idamkan masih belum terlaksana seperti genre ‘sci-fi,’ aksi, fantasi, pre-sejarah dan romantik komedi. Jika semua sudah lengkap mungkin baharu saya berani untuk mengarah," katanya.Bagaimanapun katanya, buat masa ini dia tidak mempunyai masa untuk kembali aktif berlakon kerana sibuk menguruskan syarikat produksinya, Camwork Studios.Dalam pada itu, Aqasha kini sedang sibuk menyiapkan filem pertama syarikatnya yang berjudul Bangunan.Jelasnya, filem berbentuk dokumentari itu tidak melibatkan sebarang pelakon sebaliknya menggunakan bangunan sebagai subjek utama."Tidak ramai yang ingin membuat filem dokumentari dan kami mengambil risiko ini kerana ingin memberi kelainan pada pilihan filem sedia ada."Insya-Allah ia akan dilancarkan pada tahun hadapan," katanya yang memberitahu filem tersebut diarahkan oleh Sein dan Khir Rahman.Sementara itu, Aqasha juga turut menumpukan kepada kerja-kerja belakang tadbir drama dan muzik.