Anas menyasarkan untuk berkahwin pada usia 26 tahun. AMPANG: Penyanyi Anas (Mentor 6) belum bersedia melamar kekasihnya Ana Syuhada kerana ingin mengukuhkan kerjaya dan kewangan sebelum melangkah ke alam perkahwinan.Anas atau nama sebenarnya Anas Ridzuan, 24, bagaimanapun berkata, dia menyasarkan untuk berkahwin apabila usianya mencecah 26 tahun kerana merasakan ia waktu paling sesuai. "Sebenarnya isu bersedia atau tidak bukan soal utama kerana apa paling penting saya kena kukuhkan kerjaya dan kewangan terlebih dahulu."Bagaimanapun saya menyasarkan untuk berkahwin apabila usia mencecah 26 tahun kerana ia masa paling sesuai untuk lelaki berumah tangga," jelasnya kepada mStar Online.Anas ditemui selepas menjuari program Liga Lawak Superstar (LLS) menerusi kumpulan OMG yang turut disertai oleh Sathia dan Akim Ahmad.Kumpulan itu membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM250,000 pada pertandingan yang diadakan di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) pada malam Ahad.Dalam perkembangan sama, Anas memberitahu, dia tidak pernah menyorok kisah cintanya daripada pengetahuan peminat cuma merasakan ia tidak perlu didedahkan kepada umum."Jika ada yang tanya saya akan berterus terang tetapi untuk bercerita tanpa sebarang sebab rasanya tidak kerana percintaan kami seperti orang lain dan tiada apa-apa yang istimewa," katanya.Sementara itu, Anas mengakui kerjaya nyanyiannya agak malap selepas dia banyak melibatkan diri sebagai pelakon dan menyertai program LLS.Bagaimanapun dia tidak melihat perkara itu sebagai satu masalah kerana dia memang meminati bidang lakonan dan pengarahan."Saya belajar dalam jurusan seni persembahan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) sebelum ini. Sekurang-kurangnya ia boleh dipraktikkan dengan penglibatan saya dalam bidang lakonan," katanya.