suria

Iamneeta Sangkal Tumpang Populariti Najwa Latif

Iamneeta
Iamneeta
Iamneeta

PETALING JAYA: Kumpulan Iamneeta (disebut I am neeta) menegaskan tujuan mereka memilih Najwa Latif berduet menerusi single lagu terbaharu Kau Pergi Jua bukan untuk menumpang populariti penyanyi itu.

Vokalisnya Neeta Manisha (Neeta), 19, berkata, kumpulannya tidak pernah mengharapkan populariti sebaliknya ia sekadar gandingan antara teman artis yang bernaung di bawah syarikat rakaman sama iaitu NAR Records.

"Sejak daripada dulu lagi kami tidak pernah mengharapkan populariti dalam industri muzik tempatan.

"Dalam hal ini juga, memandangkan Najwa merupakan rakan artis di bawah naungan NAR, maka kami bergandingan bersama. Sesuai dengan lagu yang ditujukan buat para remaja terutamanya," katanya kepada mStar Online.

Selain Neeta, kumpulan dari Sungai Petani, Kedah ini turut dianggotai Anas Zakwan atau Anas, 20, (pemain gitar bass) dan Patrick Anohada atau Patrick, 27, (pemain gitar utama).

Tambah Neeta, kumpulannya juga lebih senang apabila masyarakat kurang mengenali Iamneeta memandangkan ketiga-tiga mereka masih lagi dalam pengajian dan sukar untuk mereka memberi fokus sepenuhnya di bidang nyanyian.

"Sebenarnya kami bukan penyanyi sepenuh masa dan kerana itu kami lebih senang jika masyarakat meminati muzik yang dibawakan berbanding kumpulan kami.

"Tambah pula masing-masing masih belajar, sukar untuk kami memberi komitmen sepenuhnya. Maka kami hanya menyampaikan lagu-lagu buat penggemar-penggemar muzik kami menerusi radio dan klip video di YouTube," ujarnya.

Iamneeta yang berpaksikan genre alternatif pop rock ini pernah muncul dengan lagu Tuhan Tolong Aku, Terima Kasih dan Marry Me.

Dalam perkembangan lain, kumpulan tersebut juga bakal muncul dengan klip video lagu Jatuh Cinta pada Januari tahun depan.

Artikel Lain