suria

YA1M Sasar Kumpul Dana RM10 Juta Bantu Artis

Antara penerima bantuan bergambar bersama jawatankuasa Yayasan Artis 1 Malaysia (YA1M)
Antara penerima bantuan bergambar bersama jawatankuasa Yayasan Artis 1 Malaysia (YA1M)
Antara penerima bantuan bergambar bersama jawatankuasa Yayasan Artis 1 Malaysia (YA1M)

KUALA LUMPUR: Yayasan Artis 1Malaysia (YA1M) menyasarkan untuk mengumpul dana sebanyak RM10 juta dalam jangka masa beberapa tahun akan datang.

Pengerusi YA1M, Datuk Irwan Shah Abdullah atau DJ Dave berkata, pihaknya sedang berbincang dengan kerajaan untuk memberi pengecualian cukai sebagai salah satu cara untuk menggalakkan badan korporat atau pun individu menderma kepada dana yayasan itu.

"Saya berhasrat untuk melihat dana YA1M ini mencecah RM10 juta dalam masa beberapa tahun supaya kita tidak perlu terlalu bergantung harap kepada kerajaan.

"Pengecualian cukai adalah antara usaha yang sedang cuba kita lakukan supaya dapat menarik minat orang ramai menderma kepada tabung dana itu," katanya kepada mStar Online.

DJ Dave ditemui selepas menyampaikan sumbangan kepada 31 penggiat seni yang berusia 60 tahun ke atas bersempena sambutan Hari Krismas dan Tahun Baru Cina di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Isnin.

Dalam pada itu, DJ Dave berkata, setakat ini YA1M masih mempunyai dana sebanyak RM700,000 untuk digunakan bagi membantu golongan artis pada masa hadapan.

Jelasnya, tahun 2014, pihaknya telah merangka beberapa aktiviti untuk mengumpul lebih banyak dana untuk yayasan itu.

"Pada 2012 kita menerima dana sebanyak RM2 juta daripada kerajaan dan sebanyak RM500,000 pada tahun ini dan sebagai pemegang amanah kita telah menggunakan wang berkenaan untuk diberikan kepada golongan artis yang berhak.

"Di samping itu juga kejayaan makan malam amal yang kami anjurkan pada November lalu cukup berjaya dan dapat menambah lagi dana sedia ada," ujarnya.

Sementara itu, DJ Dave berkata, bersempena perayaan Hari Krismas dan Tahun Baru Cina kali ini seramai sembilan orang penggiat seni menerima bantuan sebanyak RM2,000 bagi setiap orang bagi meringankan beban mereka.

Malah kata DJ Dave, pihaknya turut memberikan bantuan barangan berupa seperti kerusi roda kepada artis yang memerlukan.

"Ini adalah misi sebenar YA1M bagi membantu meringankan beban golongan artis veteran yang mempunyai masalah seperti penyakit, kesempitan hidup dan sebagainya.

"Sumbangan yang dibuat pada hari ini diharap dapat meringankan beban mereka bersempena dengan Hari Krismas dan Tahun Baru Cina yang bakal disambut tidak lama lagi," ujarnya.

Antara artis yang menerima sumbangan itu adalah Ahmad Ibrahim (Mat London), A. Anthony, Lim Wong Hook, Faridah Mansor, Lee Ah Kaw, Farouk Abu Bakar, Stephanie Jan Thomas, Razali Safar dan Zainal Abidin Nordin.

Artikel Berikut

Artikel Lain