Mohamed Juhari memberitahu sebanyak 25 program bakal menemui peminat sepanjang tahun 2014 di Istana Budaya.KUALA LUMPUR: Pihak Istana Budaya (IB) terpaksa bersikap pilih kasih dalam menyusun kalendar programnya sepanjang tahun 2014 kerana bimbang kejadian syarikat produksi menarik diri berulang seperti sebelum ini.Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani berkata, sepanjang tahun 2013 sebanyak 14 produksi telah menarik diri daripada slot yang telah diberikan daripada 25 persembahan yang telah dipilih pada tahun itu. "Tahun 2014 memang IB bersikap pilih kasih dalam pemilihan syarikat produksi yang ingin mementaskan program mereka di Panggung Sari kerana tidak mahu pengalaman lalu berulang."Jadi kalendar 2014 kami hanya memilih produksi-produksi yang mempunyai rekod baik dengan IB dan tidak akan menimbulkan masalah kepada perancangan yang telah kita susun untuk sepanjang tahun," katanya kepada mStar Online.Mohamed Juhari ditemui selepas pelancaran Program 2014 Istana Budaya di Lambang Sari, Istana Budaya di sini, Sabtu.Majlis tersebut turut dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Ab. Ghaffar A. Tambi.Dalam perkembangan sama, Mohamed Juhari berkata, pihaknya juga terpaksa menaikkan wang cagaran kepada syarikat produksi sebanyak 20 peratus daripada sebelum ini bagi mengelakkan masalah penarikan diri di saat-saat akhir berlaku.Malah katanya, IB turut akan meningkatkan syarat dan proses untuk mendapatkan slot di Panggung Sari pada masa hadapan."Kalau kita hendak senarai hitamkan syarikat-syarikat yang pernah menarik diri adalah tidak adil kerana industri kita kecil sahaja."Tetapi bagi mengelakkan masalah berlaku kita perlu berbuat sesuatu supaya tidak menyusahkan mana-mana pihak," jelasnya.Tambah Mohamed Juhari, pihaknya menerima permohonan diluar jangkaan untuk pementasan 2014 sehingga terpaksa membuat banyak tapisan dan ada di antara mereka diletakkan dalam senarai menunggu.Sebanyak 25 program tempatan dan bertaraf antarabangsa akan mengisi kalendar program IB sepanjang tahun hadapan yang meliputi pementasan teater, kebudayaan, konsert dan teater muzikal.Jelas Mohamed Juhari, bersempena Tahun Melawat Malaysia 2014, pihaknya turut mempelbagaikan program bertaraf antarabangsa supaya dapat menarik minat pelancong asing terutamanya daripada Singapura, Indonesia dan Brunei berkunjung ke Panggung Sari."Kita amat bertuah kerana kementerian akan memainkan peranan besar dalam mempromosikan program-program tersebut dikalangan pelancong asing dan kita yakin ia dapat menarik minat mereka untuk bertandang ke Istana Budaya," jelasnya.Antara program yang bakal memeriahkan Istana Budaya adalah Mamma Mia (15-25 Disember), An Evening With James Bond (14-15 November), Mystic India The Musical (15-24 Ogos), An Evening : Bruno Mars & Ne-Yo (29 Mei) dan Konsert 45 Tahun Seniman Ramli Sarip (17-19 Oktober).Sementara itu, Mohamed Juhari berkata, kalendar Istana Budaya sepanjang Januari dan Februari juga telah penuh dengan pelbagai program menarik dan penyanyi popular Salamiah Hassan akan membuka tirai Panggung Sari pada 10 hingga 12 Januari dengan Konsert Gelombang Salamiah Hassan.Ia diikuti dengan OTM Bersama Bintang (24-26 Januari), Konsert DiRaja UUM Bersama OSK (14-16 Februari) dan The Next pada 21 hingga 23 Februari 2014.Selain itu turut menarik perhatian adalah teater Isabella terbitan Rumah Karya Citra yang bakal menampilkan pelakon Aaron Aziz pada 21 hingga 27 Jun depan, Teater Projek Kahwin (6-14 Jun), Rejang Sebuah Muzikal (12-21 September), Konsert Gemersik..Ahmad Jais Dalam Kenangan (28-31 Ogos) dan Dibawah Lindungan Kaabah pada 9 hingga 18 Mei 2014.