suria

Nadiya Nisaa Ada Strategi Kekal Populariti

Nadiya Nisaa
Nadiya Nisaa

PETALING JAYA: Pelakon Nadiya Nisaa mengakui perlu mempunyai strategi tersendiri dalam mengurus kerjaya dan membina namanya dalam industri lakonan.

Nadiya berkata, setiap keputusan untuk mengatur jadual kerjaya perlu dilakukan dengan bijak bukan hanya mengambil setiap tawaran tanpa memikirkan baik buruknya.

"Saya sentiasa berfikiran perlu bekerja dengan bijak dan bukannya bekerja secara membabi buta. Kita perlu tahu strategi untuk sentiasa ada dalam industri.

"Saya beruntung kerana ada pengurus yang menguruskan jadual dan mengatur kerjaya saya dengan baik, dia tahu hasil lakonan saya untuk tahun ini dan untuk tahun hadapan," ujarnya kepada mStar Online.

Nadiya berkata, dia bersyukur mempunyai pengurus yang juga kakaknya sendiri, Muhaimin kerana sentiasa memberi nasihat dan mengatur aktiviti kerjayanya dengan baik.

Jelasnya, sebagai artis yang sudah berumah tangga, dia perlu membahagikan masa antara kerjaya dan keluarga dengan sebaik mungkin .

Sementara itu, Nadiya berkata, tahun baharu ini, dia kini mengembangkan bakatnya dalam bidang penulisan skrip.

"Saya tidak ambil banyak tawaran berlakon sebaliknya fokus untuk menghasilkan sebuah skrip untuk filem.

"Sekarang baru draf pertama dan saya harap ia dapat disiapkan secepat mungkin," ujarnya yang turut mengambil kelas penulisan skrip dengan penulis skrip filem Paloh, iaitu Al Jafri Yusof.

Terangnya, sebagai anak seni, dia bukan sekadar hanya untuk menjadi pelakon, malah mahu mencuba dalam cabang seni yang lain.

Dalam perkembangan lain, Nadiya bakal beraksi dalam pentas teater keduanya berjudul Jam Dinding Yang Berdetak di Lambang Sari, Istana Budaya, pada 17 hingga 19 Januari ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain